"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Juruvideo guna dron kejar suspek tikam pengantin lelaki

Agensi
Rakaman dron menunjukkan adegan kejar-mengejar seorang lelaki yang dipercayai menikam pengantin lelaki sejauh kira-kira dua kilometer. Foto Tangkap layar Agensi
Rakaman dron menunjukkan adegan kejar-mengejar seorang lelaki yang dipercayai menikam pengantin lelaki sejauh kira-kira dua kilometer. Foto Tangkap layar Agensi
New Delhi: Panik melanda sebuah majlis perkahwinan apabila seorang lelaki menikam pengantin lelaki sebelum melarikan diri menaiki motosikal.

Bagaimanapun juruvideo majlis perkahwinan sempat merakam kejadian itu malah turut mengejarnya menggunakan dron miliknya.

Memetik NDTV, kejadian berlaku baru-baru ini semasa majlis perkahwinan di Amravati, Maharashtra, India, di mana suspek, Ragho Jitendra Bakshi, menikam pengantin lelaki sebanyak tiga kali di atas pentas sebelum melarikan diri.

Bertindak pantas, juruvideo yang merakam majlis perkahwinan itu mengejar penyerang berkenaan dengan dronnya.

Kejar-mengejar itu berterusan sejauh kira-kira dua kilometer (km) apabila penyerang bersama seorang lelaki lain cuba melarikan diri menggunakan motosikal.

Dalam pada itu, polis kemudian merampas rakaman dron itu dan menggunakannya untuk mengenal pasti identiti suspek.

Rakaman itu juga membantu polis menjejaki laluan yang digunakan suspek untuk melarikan diri selepas kejadian.

Siasatan awal mendedahkan bahawa serangan itu berpunca daripada pergaduhan kecil semasa acara tarian yang kemudiannya mencetuskan kemarahan suspek.

Polis kini memburu suspek, manakala pengantin lelaki yang cedera, Sajal Ram Samudra, 22, sedang menerima rawatan.

Nekad terjun kereta takut dipukul suami (video)

OTHMAN YAHAYA

Tangkap layar video menunjukkan seorang wanita berlari selepas terjun dari sebuah kereta yang sedang bergerak sambil dikejar seorang lelaki di Sungai Petani, semalam.

SUNGAI PETANI – Seorang wanita nekad terjun dari sebuah kereta yang masih bergerak kerana takut dipukul suami ketika melalui lampu isyarat simpang empat berhampiran Mahkamah Sungai Petani di sini semalam.

Video kejadian berdurasi 19 saat itu menunjukkan seorang wanita membuka pintu bahagian penumpang sebelum terjun ke jalan raya lalu dikejar seorang lelaki.

Kejadian itu sempat dirakam oleh seorang pengguna jalan raya yang kebetulan melalui laluan tersebut sebelum tular di media sosial. Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan berkata, sejurus video itu tular, pihaknya menerima satu laporan polis daripada seorang wanita yang mengaku kejadian itu membabitkan dirinya dan suami.

“Wanita itu mendakwa dia telah dipaksa menaiki kereta suaminya semasa mereka terserempak di sebuah stesen minyak di Bedong pada pukul 6 petang semalam.

“Ia bagi membincangkan mengenai kemelut rumah tangga mereka. Wanita itu mendakwa mereka tidak tinggal serumah sejak sebulan lalu kerana tidak tahan dengan tindakan pasangannya yang sering memukulnya,” katanya di sini hari ini.

Pasangan terbabit dikatakan berkahwin pada Oktober tahun lalu.

Menurut Hanyan, pihaknya kemudian menahan suami wanita berkenaan di sebuah rumah di daerah ini pada pukul 8.40 malam hari yang sama.

“Lelaki berusia 31 tahun dan merupakan seorang penganggur direman selama dua hari bermula hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Seksyen 18A Akta Keganasan Rumah Tangga 1994,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Kantoi buat ‘projek’ dalam tandas kolej, pasangan kekasih pelajar didenda RM5,000

DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA
PASANGAN kekasih muda didenda RM5,000 selepas mengaku melakukan khalwat di dalam tandas sebuah kolej vokasional di Melaka, semalam.
MELAKA – Seorang pelajar perempuan tingkatan lima dan teman lelakinya masing-masing didenda RM2,000 serta RM3,000 oleh Mahkamah Tinggi Syariah di sini, hari ini selepas mengaku bersalah berkhalwat di dalam tandas sebuah kolej vokasional di sini, semalam.

Hakim Syarie Mohd. Yunus Mohamad Zin menjatuhkan hukuman itu terhadap remaja terbabit yang berusia 17 tahun dan pasangannya 20 tahun selepas meneliti keseluruhan fakta kes, rayuan tertuduh dan hujah pihak pendakwaan.

Mahkamah turut memerintahkan kedua-dua tertuduh dipenjara enam bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut.

Mengikut pertuduhan, lelaki tersebut didapati berkurung yang mendatangkan syak dengan seorang perempuan bukan isteri atau mahramnya di dalam tandas perempuan kolej vokasional berkenaan kira-kira pukul 11 pagi, semalam.

Bagi perbuatan itu, pemuda tersebut didakwa mengikut Seksyen 53 (1) Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka 1991, manakala pelajar perempuan terbabit disabitkan kesalahan di bawah Seksyen 53 (2) enakmen sama.

Terdahulu, pendakwaan dikendalikan Pendakwa Syarie, Radzwan Abdullah, manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

Dalam rayuan mereka, tertuduh lelaki yang juga alumni kolej berkenaan memohon agar denda ringan diberikan dengan alasan perlu menanggung keluarga, manakala pelajar perempuan terbabit menyatakan dia hanyalah seorang pelajar.

Radzwan bagaimanapun berhujah agar hukuman berat dikenakan dengan mengambil kira kesalahan zina dilakukan kedua-dua tertuduh adalah dosa besar yang dilarang Allah SWT.

Difahamkan, hasil soal siasat dilakukan penguat kuasa Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM), tertuduh lelaki turut mengakui ada melakukan hubungan seks dengan pelajar terbabit di dalam tandas berkenaan.-KOSMO! ONLINE