Ahmad Hasbi
SEREMBAN: Selepas kira-kira 24 jam melarikan diri daripada lokasi kemalangan maut, pemandu kereta bersama empat penumpang berjaya ditahan polis kerana disyaki menyebabkan kematian penunggang motosikal.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohd Yatim Osman berkata, pihaknya menerima maklumat berlakunya kemalangan jalan raya membabitkan sebuah motosikal jenis Yamaha LC 135 di Kilometer 9.7 arah Utara Lebuhraya Seremban- Port Dickson (SPDH) jam 5.40 pagi Ahad lalu.
“Siasatan awal mendapati sebuah kereta Proton Saga dipercayai melanggar motosikal mangsa sebelum bertindak melarikan diri.
“Akibat kemalangan ini, penunggang motosikal, seorang lelaki disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, susulan itu, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah (BSPTD) Seremban menjalankan operasi khas bermula jam 3.30 petang semalam hingga 5 pagi hari ini.
“Dalam operasi ini, polis berjaya mengesan dan menahan pemandu kereta yang terbabit di kawasan Bandar Seremban Selatan, Sungai Gadut, di sini. Hasil soal siasat mendapati terdapat empat penumpang berada di dalam kenderaan ketika kejadian.
“Polis mengesan dan menahan kesemua penumpang iaitu dua lelaki dan dua wanita di dua lokasi berasingan iaitu di Muadzam Shah dan di Gambang, Kuantan, Pahang.
“Sebuah Proton Saga berwarna kelabu turut ditemui dan disita. Hasil semakan mendapati kereta itu mempunyai cukai jalan dan insurans yang sah serta pemandunya mempunyai lesen memandu yang sah,” katanya.
Katanya, suspek utama iaitu pemandu kereta ditahan reman selama dua hari bermula hari ini bagi membantu siasatan lanjut.
“Kesemua suspek menjalani ujian saringan awal air kencing dan didapati keputusannya adalah negatif. Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu memandu secara melulu dan merbahaya sehingga menyebabkan kematian,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan