Abdul Rahemang Taiming

Kalba Rahim, 37, dituduh membunuh isterinya Salmawati Jufri, 37, di Perumahan Pekerja No.5, Perumahan Pekerja Ladang Felda FGV Umas 6, Kalabakan diantara jam 4 hingga 4.55 petang, pada 28 September lalu.- Foto NSTP
TAWAU: Seorang buruh ladang yang disyaki menetak isterinya hingga maut di Kalabakan bulan lalu, dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini, atas pertuduhan membunuh.
Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh, Kalba Rahim, 37, yang hanya mengangguk dan mengaku faham ketika pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Don Stiwin Malanjum.
Mengikut pertuduhan, lelaki warga Indonesia yang tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri itu didakwa membunuh isteri, Salmawati Jufri, 37, di Perumahan Pekerja Ladang Felda FGV Umas 6, Kalabakan antara jam 4 hingga 4.55 petang, pada 28 September lalu.
Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun serta tidak kurang 12 sebatan jika tidak dikenakan hukuman gantung, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Asisten Superintendan Nur Intan Jamrin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Nur Intan tidak menawarkan sebarang ikat jamin terhadap tertuduh memandangkan kes adalah jenayah bunuh dan tidak boleh diikat jamin.
Mahkamah kemudian tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 3 November depan sementara menunggu laporan kimia dan laporan bedah siasat.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Rosdi Mat Jusoh dalam kenyataannya sebelum ini dilaporkan berkata, mangsa ditemui tidak sedarkan diri di rumah berkenaan dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan kira-kira jam 8.16 malam.
Polis turut menemui kecederaan pada bahagian kepala, leher dan tangan mangsa, selain merampas beberapa barang kes termasuk sebilah sabit dan sebatang kayu bagi membantu siasatan.
Sementara itu, tertuduh yang turut mengalami kecederaan pada bahagian leher dan menerima rawatan di Hospital Tawau sebelum ini menjalani prosiding reman secara dalam talian (Zoom) dari hospital berkenaan.
Prosiding reman itu dijalankan secara dalam talian susulan keadaan suspek yang masih mendapatkan rawatan selepas dipercayai mencederakan dirinya sendiri selepas kejadian itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan