"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Penuntut asing serang 2 beradik selepas hubungan diputuskan

Austin Camoens

KUALA LUMPUR: Tidak berpuas hati selepas hubungan diputuskan dipercayai menjadi punca seorang penuntut asing menceroboh kediaman keluarga rakan sekuliahnya di Taman Sri Bintang, Kepong, sebelum menyerang wanita itu dan adiknya.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Anuar Bakri Abdul Salam berkata, siasatan awal mendapati suspek tidak berpuas hati selepas mangsa memutuskan hubungan mereka.

“Motif kejadian menjurus kepada rasa tidak puas hati suspek terhadap mangsa yang memutuskan hubungan mereka,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, suspek kini menerima rawatan di wad psikiatri Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Bagaimanapun, doktor masih menjalankan penilaian dan belum membuat sebarang kesimpulan sama ada lelaki terbabit mempunyai masalah kesihatan mental atau sebaliknya.

“Suspek masih di bawah pemantauan doktor dan belum ada sebarang keputusan buat masa ini,” katanya.

Beliau berkata, berdasarkan keterangan mangsa, suspek dan wanita terbabit adalah rakan sekuliah.

Suspek direman selama tujuh hari bermula 30 September hingga esok.

Dalam kejadian pada 29 September lalu, dua beradik cedera selepas ditikam seorang lelaki warga asing yang menceroboh kediaman mereka di Taman Sri Bintang, Kepong.

Polis yang tiba di lokasi menemui kesan terbakar di bahagian luar rumah selain dua mangsa yang cedera sedang bersembunyi di dalam tandas di tingkat bawah.

Suspek pula ditemui berada di dalam sebuah bilik di tingkat atas sambil memegang sebilah pisau.

Seorang daripada mangsa sudah dibenarkan keluar hospital pada 4 Oktober lalu, manakala seorang lagi masih menerima rawatan di wad.

Tiada ulasan: