Tajuddin Rasdi
Pendidikan, ekonomi, agama dan sentimen terhadap parti tertentu didakwa antara faktor mempengaruhi sikap orang Melayu terhadap rasuah.
Ada dua misteri yang ramai orang bukan Melayu selalu bertanyakan kepada saya dan baru-baru ini, isteri saya pun bertanyakan soalan yang sama. Soalannya adalah kenapa Najib Razak dan Umno masih diterima orang-orang Melayu dari orang kampung sampai ke peringkat pengajian tertinggi?
Soalan ini susulan isu Najib diberi pengampunan dan tahanan rumah serta kemenangan besar Umno di Johor dan Negeri Sembilan.
Dalam artikel ini saya kemukakan teori saya yang mungkin ada di kalangan pembaca yang nak buatkan ia sebagai projek penyelidikan atau tesis PhD.
Sebab pertama, saya jelaskan, adalah ramai orang Melayu tidak membayar cukai atau pun bayarannya sedikit sahaja. Ramai pekerja Melayu seperti dua orang anak saya yang bekerja selepas universiti dengan gaji tidak sampai pun RM4,000.
Saya terpaksa menjelaskan kepada mereka bagaimana cukai dikirakan. Kedua-duanya hanya memotong beberapa belas ringgit sebulan sahaja maka tidak merasa sangat. Gaji saya sendiri dipotong kira-kira RM2,500 sebulan menjadikan cukai tahunan saya RM30,000.
Berbanding dengan seorang rakan saya bukan Melayu yang membayar RM120,000 setahun untuk cukai dengan potongan bulanan kira-kira RM10,000. Maka itu, orang Melayu, ‘tidak berasa’ sangat tentang cukai dan ramai pula yang menjaja dengan pulangan agak lumayan tetapi tidak ada laporan pendapatan maka tidak membayar cukai pun.
Jadi, bila isu rasuah yang dikatakan menggunakan wang rakyat untuk kepentingan peribadi serta merompak belanjawan untuk rakyat, orang-orang Melayu tidak merasa apa-apa pun sebab mereka tidak terasa beban membayar cukai.
Jadi, rasuah dan cukai tidak masuk akal orang Melayu. Bagi orang Melayu, wang untuk rakyat datang dari kerajaan dan kerajaan adalah orang Melayu. Dari mana wang itu datang, mereka tidak berapa kisah, janji mereka dapat gaji, bantuan raya dan macam-macam.
Sebab kedua, ramai orang Melayu bekerja dengan kerajaan. Kerajaan pula hampir kesemua 80% adalah Melayu, dari pegawai awam kepada ahli politik menjawat menteri dan banyak lagi, semua Melayu belaka.
Setiap bulan, gaji masuk, jadi kalau rasuah RM40 bilion gaji mereka tidak terkesan. Cakaplah negara berhutang banyak bayar kesan 1MDB tetapi gaji setiap bulan tetap masuk. Maka itu, apa yang nak dikisahkan tentang rasuah?
Cuba satu bulan, gaji tidak masuk, runtuh Umno dan Najib pun boleh kena maki. Tetapi gaji masuk, dan ada pula ‘yang lain-lain’ itu pun ‘masuk’ maka isu rasuah tidak terkesan.
Sebab ketiga, tiada sesiapa yang nak ceritakan kepada pegawai awam yang dapat gaji atau orang Melayu yang buat perniagaan besar atau kecil bahawa kebanyakan gaji yang mereka terima serta peruntukan pembangunan buat jalan raya serta sekolah datangnya daripada cukai pendapatan rakyat.
Lebih banyak cukai pula datangnya dari orang bukan Melayu sebab mereka tidak ramai bekerja dengan kerajaan. Rompakan negara dari segi rasuah berbilion-bilion tidak terkesan kerana orang Melayu masih tidak terasa apa-apa dari bebanan hutang negara.
Maka itu pemimpin perasuah yang dipilih orang Melayu akan meminjam dari sumber luar sambil menyakau wang negara yang sepatutnya dimiliki rakyat.
Pendidikan dari sekolah hingga ke universiti, satu sen aspek ini tidak pernah diajar. Pendidikan Islam pun langsung tidak sentuh kerana isu moral yang lebih besar seperti arak, judi dan babi menjadi isu utama agama di Malaysia.
Sebab keempat adalah tentang pendidikan Islam. Ada tiga perkara tentang Islam yang membuatkan rasuah ini diterima atau tidak diendahkan oleh masyarakat Islam. Pertama adalah pendidikan agama itu sendiri.
Saya sudah semak beribu-ribu khutbah Jumaat dan kesemua kandungan khutbah tidak jelaskan tentang wang dari cukai dan bagaimana ia menjadi gaji atau pembangunan.
Rasuah seolah-olah sesuatu yang ‘dosa kecil’ dan ia pun tidak dibuat mudah untuk difahami kesannya kepada pembangunan dan kebajikan rakyat secara dekat. Rasuah seolah-olah masalah jauh dan segelintir orang kaya dan orang biasa serta miskin macam kita tak perlu ambil tahu.
Kedua, adalah ceramah ustaz politik seperti seorang tok guru dari sebuah parti politik yang ‘menghalalkan’ rasuah. Beliau memberi gambaran rasuah seolah-olah bukan boleh disabitkan hukum hudud potong tangan kerana ia tidak ada dalam kitab-kitab fikah klasik.
Jadi, kalau curi kasut RM200 mungkin kena potong tangan tetapi menyakau RM40 bilion tidak masuk kitab. Jadinya nampaklah rasuah ini dosanya tidak sebesar minum arak, tidak pakai tudung atau tak undi parti politik Islam.
Ketiga, ada pula pendakwah dari India yang duduk di Malaysia yang mewajibkan orang Islam mengundi calon Islam walaupun calon itu lemah atau tidak bermoral, asalkan dia Islam.
Ini memang teruk sekali. Ditambah pula ada parti politik yang menjaja syurga asalkan undi parti mereka, maka itu kalau pun parti itu ada yang rasuah, finah atau menghina its ok, asalkan mereka berjuang habis-habisan untuk menegakkan Islam dalam politik Malaysia.
Sebab kelima pula adalah orang Melayu dapat pergi haji, dapat bantuan dapur dan dapat basikal semua daripada parti Melayu. Dari mana duit parti itu datang untuk berbelanja kepada hadiah-hadiah tersebut tidak pernah disoal oleh orang Melayu.
Kalau masuk restoran orang Melayu pandai tengok sijil halal ada atau tidak tetapi bila dapat sumbangan dari parti Melayu tidak pernah pula nak tanya dari mana dapat duit.
Sebab keenam adalah yang paling klasik dan berkesan. Undi parti Melayu atau parti Islam supaya DAP tidak memerintah negara. Isteri saya kata ramai kawan-kawan pencen beliau semua kata mereka terpaksa undi Umno sebab takut DAP ambil alih kerajaan Johor dan Negeri Sembilan.
Orang Melayu tidak pernah mengira dengan jari mereka berapa orang DAP disabit rasuah. Orang Melayu tidak sedar yang berapa banyak jari yang diperlukan untuk mengira berapa orang Melayu dan parti Melayu yang disabitkan rasuah.
Janji DAP dihalang memerintah sebab DAP itu kafir serta ada orang Islam yang belot membantu orang kafir maka tugas sebagai umat Islam sudah disempurnakan, maka layak masuk syurga.
Maka itu, dengan ketiadaan penjelasan pendidikan di sekolah, universiti dan masjid tentang kesan rasuah maka orang Melayu akan tetap memilih parti yang bergelumang rasuah.
Sampai kiamat orang Melayu, saya rasa, tidak akan berubah dan akan terus menyokong parti perasuah di Malaysia.
-fmt
Tiada ulasan:
Catat Ulasan