KOSMO!

SEORANG lelaki yang mengiringi ambulans membawa bapanya yang berada dalam keadaan nazak kelihatan menjerit dan memukul kereta rombongan pegawai kerajaan yang menyebabkan laluan tersekat di Lubang Buaya, Jakarta Timur. X/@sadewa
JAKARTA – Sebuah video tular di Indonesia memaparkan detik cemas dan kemarahan seorang lelaki apabila ambulans membawa bapanya yang sedang nazak dihalang bagi memberi laluan kepada konvoi kenderaan pegawai kerajaan, lapor halaman berita Kompas.
Kejadian berlaku di kawasan Lubang Buaya, Jakarta Timur pada Khamis lalu semasa laluan disekat bagi acara rasmi negara.
Dalam rakaman itu, seorang penunggang motosikal memakai baju kelabu dan topi hitam dilihat menjerit ke arah kenderaan rasmi yang sedang beratur menuju ke kawasan Monumen Pancasila Sakti.
“Bapak saya sudah nazak, sudah hendak meninggal dunia, bagi jalan.
“Bagi jalan untuk rakyat, yang kaya makin kaya, yang susah makin susah,” jerit lelaki itu ke arah konvoi kenderaan.
Dia dipercayai mengiringi ambulans yang membawa bapanya menuju ke hospital berdekatan.
Pihak berkuasa tempatan mengesahkan kejadian tersebut.
Ketua Polis Sektor Cipayung, AKP Elka Rudolf menjelaskan bahawa penutupan jalan hanya bersifat sementara bagi mengawal keselamatan laluan orang kenamaan.
Insiden tersebut mencetuskan pelbagai reaksi di media sosial Indonesia, dengan rata-rata netizen mengkritik keutamaan laluan bagi pegawai kerajaan berbanding kes kecemasan melibatkan nyawa rakyat biasa. – AGENSI
Tiada ulasan:
Catat Ulasan