Siti Aminah Mohd Yusof

Seorang lelaki warga emas dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas dua pertuduhan merogol dan melakukan persetubuhan bertentangan aturan tabii terhadap anak majikannya dalam tandas sebuah pusat beli-belah di sini, minggu lalu.- Foto NSTP
GEORGE TOWN: Seorang lelaki warga emas dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas dua pertuduhan merogol dan melakukan persetubuhan bertentangan aturan tabii terhadap anak majikannya dalam tandas sebuah pusat beli-belah di sini, minggu lalu.
Tertuduh berusia 71 tahun itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan selepas kedua-dua pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Juraidah Abbas.
Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa merogol remaja perempuan berusia 18 tahun di dalam tandas lelaki yang terletak di tingkat dua sebuah pusat beli-belah di sini, kira-kira jam 4.30 petang pada 1 Oktober lalu.
Pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa dengan sengaja melakukan persetubuhan bertentangan dengan aturan tabii ke atas mangsa pada masa dan lokasi sama dengan pertuduhan pertama.
Pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan tidak lebih 20 tahun serta sebatan, jika sabit kesalahan.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Anuarul Hakim Abdul Muen manakala tertuduh diwakili peguam, K Mahendran.
Pendakwaan menawarkan jaminan RM10,000 bagi setiap pertuduhan serta syarat tambahan melarang tertuduh mengganggu saksi pendakwaan dan mangsa serta menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai.
Bagaimanapun, pembelaan memohon jumlah itu dikurangkan dan memaklumkan anak guamnya kini tidak mempunyai pekerjaan dan ditanggung anaknya.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM14,000 bagi semua pertuduhan oleh seorang penjamin warga Malaysia dan mengarahkan tertuduh melapor diri ke balai polis berdekatan pada setiap 1 hari bulan sehingga kes selesai.
Mahkamah menetapkan 16 November depan sebagai tarikh serah serahan dokumen.
Media pada 2 Oktober lalu melaporkan seorang pekerja kedai makan berusia 71 tahun direman selama tujuh hari kerana disyaki merogol anak perempuan majikannya berusia 18 tahun di dalam tandas sebuah pusat beli-belah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan