"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."
Setelah dikritik hebat oleh pemimpin Pakatan Rakyat berhubung kenyataan beliau berkaitan siasatan kes penggunaan kereta dan lembu korban Menteri Besar Selangor, kini Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Ahmad Said Hamdan mengeluarkan satu lagi komen yang bakal mengundang kritikan pedas.

Kali ini beliau berkata SPRM mendapati ada elemen bahawa Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, V Sivakumar, menyalah guna kuasa berhubung isu penggantungan Menteri Besar Perak, Dr Zambry Abdul Kadir, dan enam ahli Exco, sebulan lalu.

Sehubungan itu agensi itu akan memanggil lagi beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) termasuk dari Barisan Nasional (BN) bagi memberi keterangan untuk melengkapkan siasatan kes itu.

"Bagi kita ada elemen salah guna kuasa, SPRM jalankan siasatan...bukan pendakwaan untuk menentukan keterangan berhubung perkara itu dapat dikumpul," kata beliau di Kuantan semalam.

Pada 18 Februari lalu, Sivakumar selaku Pengerusi Jawatankuasa Hak dan Kebebasan DUN menggantung Dr Zambry dan enam Exco Barisan Nasional (BN) masing-masing selama 18 dan 12 bulan daripada menghadiri sesi DUN.

Penggantungan itu dibuat berikutan tindakan Zambry dan Exconya mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar dan Exco yang didakwa bertentangan Undang-Undang Tubuh Negeri Perak dan menghina DUN.

Dalam kenyataannya Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang berkata Ahmad Said seolah-olah berbangga menjadi alat Umno bagi menjayakan agenda jahat parti tersebut yang melakukan rampasan kuasa di Perak secara amat tidak bermoral, tidak demokratik dengan menggunakan taktik kotor dan melanggar perlembagaan negeri.

Ini adalah kali kedua Ahmad Said membuka mulutnya berkenaan kes dalam siasatan SPRM. Februari lepas beliau menjadi bahan ketawa apabila agensi yang beliau terajui di gelar sebagai “Malaysian Agency for Car and Cows”, (Agensi Kereta dan Lembu Malaysia).

Ini berkaitan kenyataan beliau yang mengumumkan SPRM mempunyai bukti kukuh berhubung siasatan rasuah berkenaan penggunaan kereta dan sumbangan lembu korban Khalid Ibrahim.

Kenyataan beliau itu dilihat sebagai memusnahkan imej SPRM sebagai sebuah badan yang bebas, professional dan bebas daripada dipengaruhi oleh kuasa politik.

Susulan daripada itu satu kenyataan telah dikeluarkan oleh Lembaga Penasihat SPRM yang dipengerusikan oleh bekas Ketua Hakim, Abdul Hamid Mohamed agar pegawai tinggi SPRM tidak lagi mengeluarkan sebarang komen atau kenyataan sebelum kertas siasatan sesuatu kes selesai atau sebelum keputusan dibuat oleh timbalan pendakwa raya.

Lim mempertikaikan sikap dwi standar Ahmad Said yang mengganggu gugat Sivakumar tetapi apabila perkara yang sama berlaku kepada Speaker Parlimen tindakan segera yang keras diambil terhadap Ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo.

  -TVAntara.com.my-

Tiada ulasan: