"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Polisi Mahathir akan dilaksanakan Najib?

 Harakahdaily 

 KUALA LUMPUR, 6 April (Hrkh) - Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Ustaz Ghani Shamsuddin menyifatkan kembalinya Mahathir dalam kepompong Umno, masih belum boleh memperbetulkan Umno ke landasan sebenar.

Ini katanya, latar belakang Mahathir tidak memberi sebarang erti bahkan beliau akan meneruskan semula polisinya yang dimantapkan lagi oleh Dato' Seri Najib Tun Razak sendiri.

"Saya tidak nampak akan ada banyak perkembangan positif," katanya semasa dihubungi.

Namun katanya, sebagai umat Islam mereka perlu memohon kepada Allah Taala untuk menyelamat Islam dan orang Melayu supaya dijauh daripada segala mala petaka dan bahaya.

Katanya, jika mereka (Umno) meneruskan tradisi membelakang tuntutan moral, agama dan perlembagaan mereka akan menempa satu masa depan yang sangat malang kepada umat Islam dan rakyat Malaysia.

"Kalau mereka terus dihanyut oleh duit, rasuah dan nafsu mereka akan mengikut kaum-kaum yang dimusnah oleh Allah seperti mana dalam sejarah mereka yang menyokong kezaliman, kebatilan dan memihak kepada kejahatan pastinya mereka akan musnah seperti mana kaum-kaum yang telah musnah dahulu," katanya.

Sementara itu, Pensyarah Jabatan Sains Politik Universiti Islam Antarabangsa Malaysia Malaysia (UIAM), Dr Marzuki Muhamad berkata, tidak dinafikan kemasukan Mahathir akan merapat saf kepimpinan khasnya dalam Umno.

Namun katanya, kedudukan agama Islam dalam konteks Islam Hadhari tidak akan dipopularkan. Apatah lagi katanya, di zaman Abdullah pun Islam hadari tidak begitu popular.

"Cuma trend tanggapan Umno terhadap Islam akan diteruskan. Bagaimanapun saya tidak nampak akan ada perubahan yang besar dalam konteks pendekatan Islam di bawah Najib," katanya. 

Tiada ulasan: