"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Syabas ‘taja’ persatuan beri pandangan negatif usaha Kerajaan Selangor

Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) ‘menaja’ Persatuan Pengguna-pengguna Prihatin Air Selangor, Wilayah Persekutuan dan Putrajaya untuk memberi pandangan negatif terhadap usaha kerajaan Selangor mengambil alih pengurusan industri air di negeri itu.

Setiausaha Politik Menteri Besar Selangor, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, Syabas dan Puncak Niaga berselindung disebalik persatuan itu yang kononnya memperjuangkan hak-hak pengguna di negeri ini.

Bagaimanapun, katanya, selepas disiasat persatuan itu didapati diwujudkan untuk menjaga kepentingan syarikat-syarikat konsesi air Selangor dimana pengerusi penajanya adalah Datuk Mohammad Azaham Abdul Wahab.

Datuk Mohammad Azaham juga adalah Timbalan Presiden Persatuan Air Selangor yang dipengerusikan oleh Pengerusi Eksekutif Puncak Niaga, Tan Sri Rozali Ismail.

“Ini tidak mengejutkan saya kerana Persatuan Pengguna-pengguna Prihatin Selangor, Wilayah Persekutuan dan Putrajaya ini didalingi oleh orang yang sama dalam Persatuan Air Selangor yang mana presidennya adalah Tan Sri Rozali Ismail yang juga pengerusi kepada Syabas dan Puncak Niaga.

“Persatuan ini menjadi perkakas kepada Syabas dan Puncak Niaga untuk mempertahankan kepentingan kormesil mereka,” katanya.

Nik Nazmi berkata, ini jelas menunjukkan bukan kerajaan negeri yang menipu rakyat, sebaliknya syarikat konsesi sendiri yang mempertahankan agar industri air terus dikendalikan oleh mereka.

Beliau mengulas kenyataan Persatuan Pengguna-pengguna Prihatin Selangor, Wilayah Persekutuan dan Putrajaya dalam beberapa akhbar tempatan yang mendakwa risalah yang disebarkan kerajaan Selangor tidak tepat dan berbaur fitnah.

“Kalau benar-benar persatuan pengguna-pengguna prihatin terhadap kebajikan penduduk Selangor, sepatutnya mereka menjawab isu-isu yang telah dibangkitkan oleh audit negara, antaranya syarikat konsesi ini tidak mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan dan gaji Tan Sri Rozali sehingga RM5 juta setahun,” tegas beliau.

Menurut Nik Nazmi, kerajaan Selangor akan terus berusaha mengambil alih pengurusan air yang dikendalikan oleh empat syarikat konsesi Puncak Niaga, Syabas, Splash dan Abbas.

Ia bagi memastikan kadar tariff air dapat diturunkan dan pemberian bekalan air percuma 20 meter padu dapat diteruskan untuk faedah rakyat.

“Saya yakin dengan kempen public relations kerajaan negeri Selangor, panel-panel air kerajaan negeri Selangor, rakyat akan mendapat maklumat yang sebenar tentang apa isu yang menjadi keperhatinan kerajaan negeri,” ujarnya.

Nik Nazmi berkata, kerajaan negeri akan meneruskan usaha, termasuk mengambil tindakan undang-undang, bagi memastikan hak pengguna dilindungi dan tiada kenaikan harga air dilakukan. 

-tvselangor-

Tiada ulasan: