"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Skandal PKFZ : Dalang Perlu Diadili Segera!

Mohd Khalil Abdullah

KUALA LUMPUR, 6 Jun (Hrkh) -Angkatan Muda Keadilan Selangor mendesak agar pihak berkuasa bukan sekadar menyiasat tetapi segera membawa ke muka pengadilan dalang di sebalik skandal projek Port Klang Free Zone (PKFZ).

Menurut Ketua Penerangan AMK Selangor, Mohd Ezli Mashut, ini berikutan penggunaan wang rakyat yang amat besar digunakan dalam projek ini.

"AMK Selangor juga bertegas agar satu Suruhanjaya Penyiasatan Bebas ditubuhkan yang mempunyai kuasa untuk menyiasat skandal PKFZ ini secara menyeluruh dan bebas.

"Suruhanjaya Penyiasatan Bebas ini boleh memanggil semua pihak yang terlibat dengan bebas dan tanpa tekanan daripada mana-mana pihak,"jelasnya dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily.

Tambahnya, AMK Selangor menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia bertindak pantas sepertimana ketegasannya menyiasat kes Lembu dan Lexus sebelum ini.

"Kita mahu SPRM menunjukkan profesionalisme dan kredibilitinya yang sebelum ini teruk dikecam daripada pelbagai pihak.

"AMK Selangor mempersoalkan pihak SPRM apakah tidak berminat untuk membuat siasatan skandal PKFZ ini yang jumlah mencecah Bilion Ringgit Malaysia?"soalnya.

Mohd Ezli juga menggesa agar isu 'conflicts of interest' pihak-pihak tertentu juga disiasat segera.

"Kita mahu pihak kerajaan dan agensi penguatkuasaan tegas dan bertindak mendakwa pihak-pihak berkenaan jika bukti yang diperolehi mencukupi untuk membawa kes ini ke pihak mahkamah,"katanya.

Beliau melahirkan harapan agar Skandal PKFZ ini dibongkar dan disiasat dengan menyeluruh.

"Kita mahu wang rakyat dan negara diselamatkan daripada terus menjadi mangsa kerakusan beberapa pihak tertentu,"tegasnya.


Tiada ulasan: