"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Pemimpin PAS Patut Isytihar Harta - Wakil Melaka


SHAH ALAM, 6 Jun (Hrkh ) - Perwakilan Melaka, Mohamad Sofi Wahab mencadangkan agar pimpinan PAS mengisytiharkan harta untuk merealisasi politik ketelusan seperti yang digagaskan PAS hari ini.

Beliau yang berucap membahaskan Ucapan Dasar Presiden PAS menegaskan perisytiharan harta itu perlu dilakukan kerana terdapat dakwaan pimpinan PAS menpunyai harta yang bernilai jutaan ringgit.

Dalam pada itu katanya, perkara yang sama juga harus dilakukan kerajaan Pakatan Rakyat yang lain dengan mencontohi tindakan yang dilakukan oleh pimpinan kerajaan Selangor yang mengisytiharkan harta mereka.

Sementara itu, Mohd Sofi juga berharap kepimpinan PAS lebih berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan akhbar kerana dibimbangi kenyataan tersebut akan dimanipulasi media.

"Saya menyokong perwakilan Kedah walaupun media memberi tempat yang baik kepada PAS tetapi akhbar ini masih lagi menikam PAS. Terdapat kenyataan yang pimpinan PAS yang dimanipulasi oleh media seperti yang disiarkan dalam akhbar hari ini yang menyatakan seolah-olah PAS ingin menjadi solo daripada Pakatan Rakyat. Media ingin mencari perkara buruk kerana ada antara kita yang membangkitkan perkara ini. Media mesti sentiasa adil dan telus bahawa PAS akan bersama Pakatan Rakyat.

"Kita berharap pemimpin kita akan berhati-hati mengeluarkan kenyataan. Contohnya apabila akhbar bertanya mengenai rasuah, pemimpin kita memberi respons kepada pertanyaan tersebut. Keesokannya keluar kenyataan dalam akhbar PAS terlibat atau terdapat unsur rasuah dalam PAS walaupun pimpinan kita tidak sebut mengenai perkara itu. Justeru kita mengharapkan barisan kepimpinan berhati-hati kerana terdapat wartawan yang cuba 'provoke' sesuatu isu," katanya.

Dalam perbahasannya juga, Mohamad Sofi mengharapkan gagasan Pakatan Rakyat mestilah diperkemaskan serta diperkukuhkan.

"Dalam Pilihan Raya Kecil Bukit Gantang, PAS mendapat sokongan kaum Cina. Jika PAS dapat mengukuhkan sokongan di kalangan bukan Melayu, tidak mustahil kita juga dapat merampas Pagoh yang kini dipimpin oleh Timbalan Perdana Menteri," katanya.

Beliau turut mencadangkan diadakan modul kepimpinan bagi pemerkasaan organisasi. Perkara tersebut katanya perlu diadakan kerana masih terdapat kepimpinan kawasan masih tidak mengetahui mengenai Majlis Tindakan Dun (MTD) dan Unit Pusat Undi (UPU).

Beliau turut mengusulkan agar lajnah pemerkasaan parti agar meletakkan target 'Key Performance Index' (KPI) kepada PAS kawasan dan negeri seperti bilangan ahli untuk sesuatu kawasan

Mohd Sofi juga berharap kepimpinan PAS dapat memacu perjuangan dengan 'menjenguk' negeri Melaka yang digelar Melaka 'Darul Rasuah'.

"Harap kepimpinan pusat dapat turun ke Melaka untuk melihat dan menggagaskan gerak kerja untuk menawan Melaka. Jangan hanya dekat pemilihan baru hendak turun ke Melaka. Kita pernah mempertaruh Ali Rustam berdebat isu rasuah tapi dia suruh kita berdebat dengan Tok Guru Nik Aziz dan Elizabeth Wong," katanya sambil berseloroh.

Tiada ulasan: