"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Cendekiawan tubuh badan al-sunah tonjol kesederhanaan Islam

G. Manimaran

KUALA LUMPUR, Feb 16: Di sebalik perkembangan global dan domestik khususnya sejak siri serangan ke atas rumah ibadat yang dikhuatiri membawa persepsi negatif, sekumpulan cendekiawan Islam menggerakkan usaha bagi mencerminkan bahawa Islam sebenarnya agama yang mengutamakan kesederhanaan dan moderat.

Pendekatan yang berpegang pada fahaman al-sunah — amalan yang digalakkan oleh Nabi Muhammad SAW itu akan diusahakan oleh Pertubuhan Cendekiawan Ahlis Sunnah Wal Jamaah.

Pengerusi jawatankuasa penajanya, Fadlan Mohd Othman berkata pihaknya mahu mengetengahkan pendekataan kesederhanaan bagi mengikis salah faham tentang Islam sejak kebelakangan ini sama ada di Malaysia ataupun di peringkat antarabangsa.

Beliau tidak menafikan ada sesetengah pihak yang melihat dari sudut negatif ekoran insiden serangan dan kerja-kerja vandalisme ke atas rumah-rumah ibadat di Malaysia sejak awal bulan lalu.

Sejak awal bulan lalu beberapa gereja, surau, masjid dan kuil Sikh menjadi sasaran serangan dan kerja vandalisme pihak tidak bertanggungjawab susulan polemik penggunaan kalimah “Allah”, yang dibenarkan oleh Mahkamah Tinggi kepada akhbar mingguan Katolik Herald.

Penubuhan pertubuhan itu, yang diusahakan oleh golongan yang berlatarbelakangkan ajaran al-sunah, kini dalam proses pendaftaran.

“Begitu juga dengan Islam dikaitkan dengan pengganas dan keganasan... kami hendak menggunakan pendekatan al-sunah bahawa Islam sebenarnya agama yang mengutamakan rahmat dan kesederhanaan,” kata beliau dalam satu pertemuan dengan The Malaysian Insider di sini.

“Kita tidak mahu adanya umat Islam yang terlampau lebih dalam tindakan mereka atau terlampau kurang dalam pendirian mereka,” katanya.

Dengan merujuk kepada isu kalimah “Allah”, Fadlan berkata isunya bukan “Allah” milik siapa sebagaimana menjadi polemik sekarang, tetapi “Allah merupakan Tuhan yang memiliki semua orang sama ada Islam ataupun bukan Islam.”

“Jadi mengapa orang bukan Islam tidak boleh menggunakan perkataan Allah,” soal beliau.

“Demikian juga di Malaysia Timur iaitu di Sabah dan Sarawak, perkataan Allah sudah lama digunakan, tiada masalah di kalangan orang Islam di Malaysia Timur, tidak menyebabkan umat Islam, didakwa keluar agama (murtad)... itu pandangan ahli-ahli pertubuhan ini,” katanya.

Oleh itu jelas beliau, kekeliruan ini wujud kerana tiadanya penerangan yang cukup mengenai isu tersebut.

“Masalah sekarang ini kerana tiada penerangan (yang cukup mendalam) daripada pihak berkuasa agama.

“Kalau ada penerangan, masalah ini tidak akan timbul,” katanya.

“Pokonya ada yang terlalu ekstrem dan ada yang terlalu lemah... jadi kita hendak mengambil pendekatan pertengahan dengan sederhana,” katanya.

Bagi mencapai tujuan itu pensyarah Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia itu berkata pihaknya akan menganjurkan seminar mengenai Islam dan keganasan hujung bulan depan sebagai salah satu program awal mereka.

“Kita hendak menjelaskan bahawa sebagaimana ada jihad, begitu juga ada unsur rahmat yang ditekankan oleh Islam,” kata beliau.

“Kalau jihad pun, Rasul ada menekankan bahawa jangan bunuh mereka yang tidak berdosa iaitu wanita dan kanak-kanak, jangan bunuh paderi, jangan robohkan rumah ibadat... kita hanya memerangi musuh, mereka yang berperang dengan Islam,” katanya.

Dalam membawa pendekatan moderat ini, kata beliau, “kita hendak menekankan bahawa kita umat Islam, yang cukup toleran dalam berdepan dengan agama-agama lain, kaum dan keturunan lain.”

“Bila disebut agama Islam, ia adalah agama global... Nabi orang Arab dan al-Quran pun dalam bahasa Arab, jadi mengapa orang Melayu menganggap Islam untuk orang Melayu sahaja,” kata beliau.

-malaysianinsider-

Tiada ulasan: