"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Chua bertanding jawatan presiden dan Liow tanding timbalan presiden

Bekas timbalan presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek mengesahkan yang beliau akan menyertai saingan jawatan presiden pada pemilihan 28 Mac ini.

Keputusan itu menyaksikan pertembungan tiga penjuru membabitkan penyandang Datuk Seri Ong Tee Keat dan bekas presiden Tan Sri Ong Ka Ting.

Chua yang menjadi tumpuan dalam krisis dalaman MCA sejak pemilihan 2008 mengumumkan keputusan yang dijangkakan ini di sebuah hotel berhampiran Wisma MCA di sini petang ini.

Malah sebagaimana dijangkakan beliau ditemani bekas naib presiden Datuk Seri Kong Cho Ha yang semalam mengesahkan beliau akan merebut kerusi timbalan presiden seperti dilapurkan Malaysian Insider.

--------

Sementara itu Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai hari ini mengumumkan bahawa beliau akan bertanding jawatan timbalan presiden MCA dalam pemilihan parti itu 28 Mac ini.

Liow yang juga naib presiden MCA, mengumumkan keputusannya itu di ibupejabat MCA di ibunegara.

Berikutan itu, dua pemimpin MCA telah mengumumkan keputusan mereka untuk bertanding jawatan timbalan presiden.

Semalam, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Kong Cho Ha, mengumumkan akan bertanding jawatan yang sama.

Liow berkata, selama 29 tahun menjadi ahli MCA, beliau sentiasa memperjuangkan kepentingan parti.

Bercakap dalam sidang akhbar tersebut, Liow berkata, MCA perlu kembali ke landasan asalnya sebagai pejuang rakyat serta memperkukuhkan parti dan negara.

Turut hadir ialah Ketua Wanita MCA, Datin Paduka Chew Mei Fun, Ketua Pemuda MCA, Datuk Wee Ka Siong dan anggota CC, Datuk Chor Chee Heung.

Liow berkata beliau bersedia bekerjasama dengan sesiapa sahaja yang dipilih perwakilan minggu depan bagi memperkukuhkan parti supaya ia dapat menghadapi pilihan raya umum akan datang, dengan lebih keyakinan.

"Adalah menjadi harapan saya agar semua ahli MCA akan bekerjasama ke arah perpaduan parti. Kita mesti sentiasa mengingatkan diri kita untuk mengutamakan parti dan sentiasa mendengar suara masyarakat Cina bila menjalankan tugas kita," katanya.

-malaysiakini-

Tiada ulasan: