"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Isu Dr Asri Bukti Utusan Bukan Wadah Pemikiran Rakyat

KUALA LUMPUR 15 MAC: Berita bekas Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainal Abidin tidak lagi menulis sebagai kolumnis Mingguan Malaysia, sebuah akhbar arus perdana mendapat perhatian Ahli Parlimen Pakatan Rakyat.

Ahli Parlimen Balik Pulau, Yusmadi Yusuf berkata, Utusan Malaysia yang menjadi induk kepada Mingguan Malaysia bertindak demikian kerana tidak mahu rakyat menerima pandangan yang berbeza dari pegangan kerajaan Umno BN.

Tindakan itu, kata bekas kolumnis Utusan Malaysia itu, menunjukkan akhbar kawalan Umno BN itu masih belum layak menggelar akhbar mereka sebagai wadah pemikiran rakyat.

“Bagi saya, Utusan masih belum bersedia sebagai wadah pemikiran rakyat kerana saya cakap mindanya sekarang minda digital tetapi Utusan nampaknya masih lagi analog," katanya.

Ahli Parlimen Pokok Sena, Mahfuz Omar beranggapan, pandangan Dr Asri yang agak kritikal terhadap kerajaan kebelakangan ini, tidak wajar dijadikan alasan kolumnis ditukar.

“Tidak seharusnya perkara itu berlaku walaupun ada perbezaaan pendapat. Memang pandangan Dr Asri adakalanya kritikal terhadap kerajaan. Jadi kalau ia alasan untuk menutup ruang kebebasan pemikiran, ia tidak wajar," katanya.

Dalam pada itu, Ketua Pengarang Berita Publishing, Datuk A Kadir Jasin menegaskan setiap akhbar mempunyai hak untuk mengambil mahupun membuang mana-mana penulis jemputan pada bila-bila masa.

"Adalah hak pengarang untuk mengambil dan membuang penulis jemputan,” tegasnya tetapi enggan mengulas lebih lanjut.
-tvselangor-

Tiada ulasan: