"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

10 pelajar terbaik SPM tamparan buat Muhyidin, SBT

MOHD NOR SAMAD

KUALA LUMPUR: Senarai 10 pelajar terbaik dan 10 sekolah terbaik bagi keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2009 merupakan satu tamparan kepada Menteri Pelajaran Tan Sri Muhyiddin Yasin berhubung Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) yang diumumkan beliau Januari lalu, kata Penasihat DAP Lim Kit Siang.

Menurutnya, dua senarai tersebut mengesahkan kritikan yang ditujukan kepada senarai SBT Muhyiddin bahawa ia bukan sahaja menghina pelajar dan guru dari Sarawak dan Sabah, tetapi juga kepada pelajar dan guru di Semenanjung apabila sekolah mereka tidak terpilih.

Gladys Tan Yee Kim dari SMK Green Road, Kuching menjadi pelajar terbaik. Lim berkata, daripada 10 orang pelajar terbaik, hanya dua datang dari sekolah yang dipilih Muhyiddin sebagai SBT iaitu Grace Kiew Sze-Ern dari SMK(P) Sri Aman, Petaling Jaya dan Syamilah Mahali dari Kolej Tunku Kursiah, Seremban.

"Lapan yang lain bukan datang dari senarai SBT Muhyiddin," kata Ahli Parlimen Ipoh Timor itu.

Senarai 10 sekolah terbaik bagi SPM 2009 juga merupakan satu tamparan kepada Muhyiddin kerana hanya tiga sekolah mewakili SBT, kata Lim.

"Muhyiddin perlu mengarahkan pegawainya untuk mengkaji semula kedudukan SBT ini supaya ia dapat bersikap adil kepada sekolah-sekolah yang menunjukkan prestasi yang baik.

"Barangkali senarai SBT perlu dirumus dan dipilih jawatankuasa yang terdiri daripada bekas guru dan pendidik, bukannya birokrat di Kementerian Pelajaran," katanya.

Tiada ulasan: