"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Blogger kecewa jadikan PAS sebagai mangsa

Asqolani
KOTA BHARU, 12 April:
Dewan Pemuda PAS Kelantan menyifatkan seorang blogger yang kini menjadikan PAS sasaran kecamannya sebagai seorang yang kecewa.

Ketua Penerangannya, Ahmad Fadhli Shaari berkata, kerana tidak mendapat habuan yang diharapkan, dia menjadikan PAS sebagai mangsa termasuk Mursyidul Am, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

“Dia membuat pengakuan kononnya banyak membantu PAS dalam pilihan raya, sedangkan pengakuan tersebut langsung tidak disertakan dengan bukti dan fakta yang jelas.

“Saya penuh meyakini dakwaannya banyak membantu kempen PAS di Kelantan merupakan satu pembohongan semata-mata. Hakikatnya, dialah yang mencari makan dengan kerajaan PAS sebelum ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Sebelum ini, sebuah blog yang ditulis oleeh penulis kecewa itu mendedahkan beberapa dokumen secara terbuka melibatkan urusan parti dan kerajaan negeri.

Selain itu blogger terbabit mendakwa kerajaan negeri meminta mereka yang memohon tender kawasan balak memberi sumbangan kepada PAS Kelantan.

Ahmad Fadhli berkata, kemungkinan apa dia lakukan hanyalah semata-mata untuk memperagakan kebolehan mencari maklumat dan dibeli dengan harga mahal oleh pihak lain.

“Saya juga mencabar dia membuat laporan kepada pihak polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) jika meyakini terdapat penyelewengan dan salah guna kuasa dalam pentadbiran kerajaan negeri di bawah Tuan Guru Nik Abdul Aziz sejak 1990.

“Menteri Besar sering kali membuka ruang pintu siasatan kepada SPRM sepanjang masa bagi membuktikan ketelusan pentadbiran dan kesediaan untuk disiasat,” ujarnya.

Bagaimanapun, katanya yang juga Setiausaha Akhbar Menteri Besar, blogger terbabit tidak pernah membuat laporan polis atau SPRM biar pun begitu galak membuat pendedahan dalam blog.

“Ini kerana semua pihak tahu bahawa pendedahan yang dibuat tersebut tidak boleh diketagorikan sebagai penyelewengan dan salah guna kuasa,” katanya.

Tiada ulasan: