"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Ghapur terguris dakwaan Zahrain lepaskan kerusi MP

Ghapur mengosongkan kerusinya akhir Mac lalu, tetapi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dikatakan telah menggesa beliau menarik balik surat peletakan jawatan awal April.

Ahli Parlimen Kalabakan ini yang dihubungi enggan mengulas isu berkenaan.

The Malaysian Insider difahamkan wakil rakyat Sabah ini mengambil pendirian luar biasa demi menjaga maruahnya apabila ada segelintir pemimpin BN peringkat nasional dan negeri melabelkan beliau sebagai “orang Anwar” selain berhasrat untuk keluar parti.

Ghapur dikatakan mengemukakan surat letak sebagai wakil rakyat kepada Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia kira-kira dua minggu selepas Zahrain, bekas pemimpin PKR yang kini merupakan Ahli Parlimen Bebas Bayan Baru, mendedahkan di Dewan Rakyat nama lapan wakil rakyat di Dewan Rakyat.

Zahrain yang keluar PKR Februari lalu membuat pendedahan itu pertengahan Mac lalu.

Sumber memberitahu, Ghapur telah memaklumkan Speaker dan Najib bahawa beliau sedia melepaskan kerusinya jika ada pihak yang masih mencurigai kesetiaannya kepada Umno dan BN.

Malah The Malaysian Insider juga difahamkan Najib, yang juga Pengerusi BN telah memujuk Ghapur agar menarik balik keputusannya atas alasan perikatan masih memerlukan kepimpinan beliau.

Hampir seminggu selepas pendedahan Zahrain, Ghapur memberitahu Dewan Rakyat beliau marah terhadap wakil rakyat Bayan Baru itu kerana menamakannya sebagai antara lapan wakil rakyat BN yang kononnya diumpan bagi menyertai rancangan Anwar mengambil alih kerajaan.

“Saya sudah katakan saya tidak pernah diumpan, tidak pernah dipujuk dan tak pernah pergi Taiwan, bererti saya bukanlah golongan yang dipujuk untuk lompat.

“Jadi bererti umpan yang dibagi kepada rakan mungkin tidak cukup, jadi tidak lompat, umpan yang dibagi kepada Ahli Parlimen Bayan Baru ini besar, sebab dia lompat,” kata Ghapur ketika membahaskan usul Menjunjung Kasih Titah Ucapan Yang di-Pertuan Agong.

Sehubungan itu Ghapur mendesak Zahrain, yang baru-baru ini keluar daripada Parti Keadilan Rakyat untuk menjadi wakil Bebas, supaya menarik balik kenyataan yang menamakan beliau antara yang diumpan untuk lompat parti serta meminta maaf kepadanya.

Ghapur pernah mencuri tumpuan banyak pihak apabila menolak pelantikan sebagai Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar selepas pilihan raya umum 2008.

Beliau yang juga bekas timbalan ketua menteri Sabah memenangi kerusi Parlimen Kalabakan tanpa dicabar pada 2004.

Malah Ghapur, Ketua Umno Bahagian Kalabakan, juga pernah menghangatkan Dewan Rakyat pada Mei 2008 apabila membuat beberapa tuntutan tegas, berkaitan hak-hak rakyat Sabah.

Antara tuntutan yang dikemukakan, beliau mahu barisan Kabinet Persekutuan dirombak semula bagi memberi peluang kepada pemimpin dari negeri itu dipilih dan diberi jawatan yang lebih baik.

Ini kerana katanya, kemenangan pemimpin BN di Sabah pada pilihan raya umum 2008 adalah faktor utama yang membolehkan BN menubuhkan Kerajaan Persekutuan.

Bagaimanapun jelasnya, adalah agak menyedihkan apabila jumlah Ahli Parlimen yang dipilih menganggotai barisan Kabinet Persekutuan adalah tidaklah setimpal, malah mereka hanya diberi portfolio-portfolio yang kurang penting.

-malaysianinsider-

Tiada ulasan: