"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Misteri pengawal istana ditembak, keluarga buntu

Muhammad Faris masih bimbang dengan keselamatan bapanya, Ramli Mohamad walaupun pengawal istana Kelantan itu diletakkan bawah pengawasan polis 24 jam.

Ramli, 50, mula sedarkan diri selepas peluru yang menembusi badannya dikeluarkan empat hari lalu melalui pembedahan.

Bekas anggota tentera itu ditembak sebanyak empat das dalam kejadian pada awal pagi 1 Mei lalu.

Ketika itu, Ram
li dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Kampung Kok Keli, Tumpat setelah selesai bertugas di istana negeri.

Ketika dikunjungi di unit rawatan rapi, Hospital Raja Perempuan Zainab II semalam, Ramli kelihatan semakin aktif dan mampu memberi reaksi apabila disapa oleh anggota keluarganya.

Bagaimanapun beliau masih di bawah pengaruh sedatif dan kelihatan tidak berupaya untuk menumpukan perhatian ketika berbual.

Mengulas perkembangan tahap kesihatan bapanya, Muhammad Faris berkata beliau gembira kerana Ramli nampaknya semakin cepat sembuh.

Hanya sebelah paru berfungsi

"Doktor kata ayah boleh bertahan sebab paru-paru dia kuat, walaupun sebelah saja yang berfungsi. Ayah tidak merokok," kata penuntut tahun dua di kampus UiTM Machang itu.

Muhammad Faris berkata, keadaan bapanya mula pulih sejak empat hari lalu selepas menjalani pembedahan mengeluarkan peluru yang menembusi paru-paru kanannya.

Walaupun gembira dengan tahap kesembuhan bapanya, Muhammad Faris bagaimanapun bimbang sekiranya bapanya kembali menjadi 'sasaran' serangan selepas ini.

"Memang suka kalau dia sihat, tapi kita takut kalau orang tahu dia sihat, dia boleh bercakap, orang akan cari dia lagi.

"Mungkin berlaku (serangan), mungkin tidak. Tapi polis ada (di hospital) jaga 24 jam, jadi kami rasa selamat sikit," kata anak bongsu daripada lima beradik itu.

Tinjauan mendapati pintu masuk ke wad itu dikawal oleh anggota polis yang memeriksa identiti semua pengunjung ke kamar berkenaan.

Wartawan Malaysiakini yang masuk untuk menjenguk Ramli di kamar rawatan itu juga diiringi seorang anggota polis.

Muhammad Faris berkata, kebimbangan yang dihadapi keluarganya itu dikuatkan lagi dengan saranan daripada polis supaya mereka tidak begitu menonjolkan diri mereka di media berhubung insiden tersebut.

"Polis bimbang keluarga kami pun akan jadi sasaran juga.

"Saya sendiri pun tak mahu dapat publisiti lebih, sedangkan ayah saya sendiri sedang sakit," tambahnya.

Katanya lagi, polis telah merakamkan kenyataan daripadanya berhubung serangan ke atas Ramli itu.

"Polis tanya bagaimana saya tahu (mengenai serangan), siapa yang beritahu, soalan begitulah," katanya.

Jelasnya, beliau merupakan antara anggota keluarga pertama yang mengetahui mengenai kejadian pada malam itu.

"Saya (ahli keluarga) yang pertama sekali pergi tengok ayah di hospital," katanya.

Tak tahu kerja ayah

Beliau kelihatan sedikit ceria apabila mengulas mengenai saudara maranya yang tidak putus-putus datang ke wad berkenaan bagi menziarahi bapanya.

"Kawan ayah sendiri pun ramai juga, termasuklah yang bekerja di istana. Ramai yang saya tidak kenal," katanya.

Bagaimanapun, riak gembira itu tidak kekal lama apabila beliau ditanya mengenai sebab-sebab di sebalik serangan ke atas bapanya.

"Ayah tidak pernah cerita tentang kerja dia, apa tugas dia. Kita cuma tahu dia kerja di sana.

"Bagi saya, apa yang penting sekarang ialah supaya ayah saya cepat sembuh.

"Kita tidak fikir pasal sebab, atau pasal suspek. Kita fikir supaya keadaan dia sihat saja," tegasnya.

Polis setakat ini dilaporkan telah menahan seorang suspek lelaki warga tempatan berusia 40 tahun untuk siasatan berhubung kejadian tersebut.

Pengelola Istana Diraja Kelantan, Datuk Abdul Halim Hamad berkata beliau telah diarahkan oleh Pemangku Raja Kelantan, Tengku Mohammad Faris Petra yang meminta polis menyiasat secara terperinci kes itu bagi mengetahui punca kejadian dan pihak yang bertanggungjawab.

Katanya mangsa juga bertugas sebagai pengawal keselamatan bagi keluarga diraja dan membantu tugas-tugas sebagai pengawal peribadi.

-malaysiakini-

Tiada ulasan: