"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Rakyat: 'Kesian sultan ambo, bilo nak abis ni'

Apabila gambar Sultan Kelantan Tuanku Ismail Petra tersiar pada muka hadapan beberapa akhbar utama semalam, ada penduduk Kelantan yang berkata "kesian sultan ambo, bilo nak abis ni."

Rasa simpati dan terkejut itu timbul apabila mereka melihat keadaan fizikal baginda ketika hendak dibawa pulang ke Istana Mahkota dari Hospital Universiti Sains Malaysia di Kubang Kerian setelah menjalani rawatan susulan masalah jantung dan pemeriksaan status kesihatan baginda oleh panel 10 pakar yang dilantik oleh kerajaan.

Bukan setakat gambar raja mereka itu, yang diusung dengan kerusi roda khas, yang menyentuh perasaan rakyat Kelantan tetapi yang terus bermain di fikiran mereka ialah kemelut yang sedang melanda Istana Kelantan.

Isu itu mula menarik perhatian umum apabila Tuanku Ismail Petra dibawa pulang ke Kelantan pada 4 Mac lepas setelah menjalani rawatan akibat masalah jantung di Hospital Mount Elizabeth di Singapura sejak Mei tahun lalus.

Semasa ketiadaannya, anakanda sulung baginda, Tengku Muhammad Faris Petra, dilantik oleh Majlis Perajaan Negeri sebagai Pemangku Raja, namun rakyat mulai terhidu bahawa ada yang tidak kena dalam keluarga diraja kerana melihat seolah-olah terdapat dua pihak yang menguasai Istana Kelantan.

Di satu pihak adalah Pemangku Raja Tengku Muhammad Faris Petra, dan di satu pihak lagi adalah adindanya, Tengku Muhammad Fakhry Petra serta ibundanya, Raja Perempuan Tengku Anis Tengku Abdul Hamid.

Bibit-bibit keretakan itu mulai ketara apabila Datuk Wan Hashim Wan Daud, yang didakwa dilantik sebagai Setiausaha Sulit Kepada Sultan, mengumumkan tiada acara sambutan hari keputeraan sultan pada 30 Mac.

Bagaimanapun kenyataan Wan Hashim itu, malah pelantikannya sebagai Setiausaha Sulit Sultan, dipertikai oleh Pengelola Istana Kelantan, Datuk Abdul Halim Hamad.

Tarikh 25 Mac menjadi kemuncak pada kemelut itu apabila Wan Hashim mengumumkan titah Sultan bahawa Tengku Muhammad Faris Petra dilucutkan jawatannya serta merta sebagai Pemangku Raja dan digantikan oleh Tengku Abdul Aziz Hamzah.

Pelucutan itu bagaimanapun tidak sah kerana tidak mendapat persetujuan ahli Majlis Perajaan Negeri dan juga tidak mengikut Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Kelantan.

Pada masa yang sama juga timbul pula isu mengenai isteri kedua Sultan Kelantan, Che Puan Elia Suhana Ahmad, 31, yang kononnya telah diceraikan oleh baginda.

Elia Suhana berkahwin dengan Tuanku Ismail Petra pada penghujung 2007.

Beliau dihalang bertemu baginda walaupun telah mendapat perintah mahkamah.

Seorang wanita telah membuat permohonan pengesahan lafaz cerai talak tiga terhadap Elia Suhana yang kononnya dibuat oleh Tuanku Ismail Petra pada 12 Feb lalu di hadapan beberapa saksi di Singapura. Mahkamah Tinggi Syariah Kota Bharu menetapkan 23 Mei untuk keputusan permohonan cerai itu.

Pada 7 April, Sultan Kelantan buat pertama kali dibawa ke khalayak ramai pada satu majlis minum petang di Istana Mahkota untuk menunjukkan bahawa baginda semakin sembuh.

Pada acara itu, Raja Perempuan meminta Tuanku Ismail Petra untuk menyanyi, tetapi dalam suara yang serak dan agak sukar untuk melafazkan kata-kata, baginda menjawab : "Dok, tok se nyanyi (Tak, tak mahu menyanyi). Payoh (susah)."

Pada 4 Mei, Tuanku Ismail Petra dibawa ke HUSM untuk rawatan susulan walaupun sebelum itu, Tengku Muhammad Fakhry Petra, mengumumkan bahawa ayahandanya akan dibawa ke Singapura untuk tujuan itu.

Pemangku Raja pula bertitah bahawa segala pergerakan Sultan perlu mendapat perkenannya dan kawalan keselamatan dipertingkatkan.

Pada 9 Mei, Sultan Kelantan telah dibawa pulang ke Istana Mahkota setelah lima hari menjalani rawatan susulan dan pemeriksaan oleh panel 10 pakar itu yang dijangka menyerahkan satu laporan kepada Pemangku Raja untuk dibawa kepada Majlis Perajaan Negeri.

Terdapat spekulasi bahawa apabila laporan pakar itu diserahkan kepada majlis itu nanti, satu keputusan akan dibuat yang bakal menentukan sama ada kemelut istana ini akan berakhir atau berterusan.

-Bernama-

Tiada ulasan: