"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Ku Li: Potong subsidi tidak cukup elak pembaziran

Shazwan Mustafa Kamal
KUALA LUMPUR, 18 Julai:
Tengku Razaleigh Hamzah mengingatkan pentadbiran Najib bahawa potongan subsidi sahaja tidak cukup untuk menstabilkan keadaan ekonomi sambil menegaskan, perdana menteri masih belum menangani rasuah dan projek-projek yang membazir dengan menyeluruh.

Bekas menteri kewangan itu menegur kerajaan tidak mengambil tindakan-tindakan sewajarnya untuk mengawal budaya rasuah selain memberi subsidi kepada organisasi-organisasi yang menggunakan wang pembayar cukai pada jumlah yang banyak.

“Adakah kerajaan gembira dengan situasi negara buat masa sekarang? Kajian Merdeka Center menunjukkan 70 peratus rakyat Malaysia tidak gembira (dengan situasi ekonomi negara).

“Adakah kerajaan akan memotong perbelanjaan di bidang-bidang lain? Ketirisan mengakibatkan lebih banyak kos berbanding subsidi.

“Mengapa tidak kerajaan melihat perkara ini?” kata Tengku Razaleigh (gambar) kepada The Malaysian Insider dalam temu bual eksklusif di sini.

Katanya, kerajaan masih memberi subsidi kepada organisasi-organsiasi yang membuat keuntungan besar disebabkan insentif ini, meskipun kerajaan melaksanakan pelarasan subsidi ke atas bahan api dan gula berkuat kuasa Jumaat lalu.

“IPP (Pengeluar Tenaga Bebas), pemegang konsesi yang kerajaan masih memberikan subsidi untuk mereka. Mengapa subsidi ini tidak dipotong?

“Ia menelan lebih banyak kos berbanding potongan subsidi bahan api dan gula,” kata Tengku Razaleigh.

Kerajaan pada Khamis lalu mengumumkan bahawa subsidi bahan api, khususnya petrol, diesel dan petroleum gas cecair (LPG), serta gula, akan dikurangkan sebagai langkah pertama program rasionalisasi subsidi secara berperingkat-peringkat berkuat kuasa kelmarin.

Subsidi bagi RON 95 dan diesel akan dikurangkan sebanyak lima sen seliter manakala LPG dikurangkan sebanyak 10 sen sekilogram.

Ini bermakna petrol RON 95 dijual pada RM1.85 seliter manakala LPG berharga RM1.85 sekilogram.

RON97 tidak lagi diberikan subsidi dan tertakluk kepada apungan secara terkawal, dengan harga ditentukan oleh mekanisme harga automatik.

Bagi gula, pelarasan harga ialah sebanyak 25 sen sekilogram.

Berdasarkan anggaran, rasionalisasi subsidi ini membolehkan Malaysia mengurangkan perbelanjaan melebihi RM750 juta pada 2010.

Ahli Parlimen Gua Musang ini juga mendakwa kerajaan tidak mengambil langkah secukupnya untuk menangani rasuah dalam perkhidmatan kerajaan, yang menurut beliau adalah punca utama ketirisan dana kerajaan.

“Adakah kerajaan berpuas hati dengan tindakan menangani rasuah? Sebahagian besar masyarakat terpaksa menanggung kos (rasuah)... masih ada banyak perkara yang perlu ditangani.

“Sebagai contoh proses tender. Ia perlu dijalankan dengan ketat agar tiada pembaziran,” tambah beliau yang pandangannya seiring dengan pendirian Pakatan Rakyat baru-baru ini.

Bagaimanapun bekas naib presiden Umno ini mengakui hakikat bahawa pemotongan subsidi merupakan sebahagian daripada langkah yang perlu untuk menstabilkan situasi kewangan negara.

“Pemotongan subsidi dialu-alukan tetapi ia harus dijalankan secara berperingkat-peringkat agar tidak membebankan golongan miskin,” katanya.

Beliau juga mengingatkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tentang “kesan psikologi” dengan tindakan kerajaan memotong subsidi minggu lalu.

“... akan ada kesan reaktif,” katanya.

Tiada ulasan: