"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Penyelewengan Felcra didedah

Hazayani Zakaria
KUALA LUMPUR,17 Ogos:
Pengerusi Persatuan Anak-anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak), Mazlan Aliman (gambar-tengah) hari ini mendedahkan sekurang-kurangnya terdapat 22 penyelewengan dan salah urus dalam Felcra.

Ianya antara lain berkaitan penyelewengan wang koperasi peserta Felcra Berhad (KPFB), penyelewengan di Special Business Unit (SBU) Felcra Berhad dan penyelewengan dalam pelaburan pembelian Bon yang bernilai RM17 juta yang tidak mendapat kelulusan.

Selain itu pendedahan tersebut juga berkaitan penyelewengan bekalan baja Keiserite yang tidak mematuhi spesifikasi.

Bagaimanapun menurutnya, pendedahan hanya akan dibuat secara bersiri kerana mahu pihak Felcra menjawab sama ada mengakui atau menafikannya.

"Kita akan dedahkan perkara ini secara bersiri seperti yang dijanjikan pada himpunan pada 31 dan 1 ogos lalu" katanya pada sidang media di ibu pejabat PAS, dekat sini hari ini.

Hadir sama pada sidang media itu, Pengerusi Jawatankuasa Badan Bertindak Felcra, Akmaluddin Mohd Noor serta Yang Dipertua PAS Lenggong, Razman Zakaria.

Mazlan juga berkata pihaknya meminta masa selama seminggu untuk menyiapkan dokumen berkaitan peneyelewengan itu untuk diedarkan kepada media.

Pada 31 Julai dan 1 Ogos lalu telah berlangsung satu himpunan warga Felcra Kebangsaan di Felcra Bandar Seberang Perak.

Himpunan tersebut bagaimanapun mendapat tekanan hebat dari pihak pengurusan Felcra sehingga menyaksikan lebih 20 ahli jawatankuasa penganjur ditangkap.

Program tersebut juga hanya berjaya diadakan satu hari setengah apabila pihak pihak anggota simpanan persekutuan (FRU) menggempur tempat himpunan seblum perasmian kemuncak dibuat pada malam 1 Ogos tersebut.

Dalam pada itu Mazlan turut mendesak satu Suruhanjaya Diraja bagi menyiasat penyelewengan yang akan didedahkan itu.

Selain itu beliau juga menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menubuhkan pasukan petugas khas untuk menyemak aduan yang telah dibuat bermula 31 Januari 2009.

Anak juga katanya telah menubuhkan satu NGO bagi membantu peserta Felcra menyalurkan aduan mereka serta menubuhkan badan bertindak untuk menyerahkan dokumen aduan kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam).

Tiada ulasan: