"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Romantis: Peguam Negara didakwa terbabit

Dzulfikar Mashoor
KUALA LUMPUR, 17 Ogos:
Jabatan Peguam Negara sekali lagi menarik perhatian umum apabila Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail sendiri didakwa mempunyai hubungan romantis dengan salah seorang anggota bawahannya, Datuk Azailiza Mohd Ahad.

Menurut penulis blog Raja Petra Kamaruddin (RPK) dalam kolumnya, No Holds Barred, hubungan romantis Abdul Gani dan Azailiza, Ketua Bahagian Hal Ehwal Antarabangsa itu sebenarnya merupakan rahsia umum di kalangan kakitangan Jabatan Peguam Negara.

"Ya, semua orang tahu mengenai hubungan sulit ini. Ianya bukan lagi rahsia. Peguam Negara (Abdul Gani) dan Azailiza acapkali bersama ke luar negara, dan bagi menjimatkan wang pembayar cukai, mereka memilih untuk berkongsi kamar hotel dari menyewa (kamar) hotel yang berasingan," dakwanya seperti dipetik dari artikel Okay, What About This Affair Than? di sesawang Malaysia Today, http://malaysiaktoday.net.

Difahamkan, pendedahan terbaru itu dibuat selepas beliau mendedahkan tentang skandal membabitkan salah seorang pasukan Abdul Gani, Farah Azlina Latif dengan Mohd Saiful Bukhari Azlan, iaitu saksi utama kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim pada hujung bulan lepas.

Pada satu kenyataan rasmi 27 Julai lalu, Abdul Gani akhirnya menggugurkan Farah sebagai Timbalan Pendakwa Raya (DPP).

Tidak cukup dengan itu, beliau yang juga pemilik blog Malaysia Today turut mempertikai kredibiliti Ketua Hakim Negara, Tan Sri Zaki Tun Azmi (dilantik sejak 2008) di samping menganggap kesemua pendedahannya itu sebagai skandal seks yang mencalar imej Istana Keadilan.

"Nampak gayanya, sangat banyak skandal seks di Istana Keadilan.

"Apatah lagi Ketua Hakim Negara mengahwini isteri keduanya di Thailand secara tidak sah lalu kemudiannya menghapuskan bukti berkaitan bagi mengelak sebarang pendakwaan, seperti juga kawan kita Ahli Parlimen dari Sabah," tulis beliau lagi.

Sehubungan itu, beliau yang kini masih diburu oleh kerajaan ekoran pendedahan eksklusifnya berhubung pemimpin-pemimpin tertinggi tertentu negara sekali lagi mempersoal kredibiliti mereka yang terbabit dalam menguruskan soal keadilan di institusi kehakiman negara.

"Terfikirkah kita sama ada mereka mempunyai cukup masa untuk menyediakan kes di mahkamah," sinisnya lagi.

Di sebalik pendedahan terbaru itu, beliau sekali lagi mempersoal sikap diam diri Abdul Gani berhubung pendedahannya sebelum ini; iaitu hubungan romantis antara Farah dan Saiful.

"Kenapa Peguam Negara tidak mahu mengesahkan atau menafikan dakwaan salah seorang anggota pasukan pendakwaan mengadakan hubungan dengan saksi utama (Saiful)," soalnya.

Baginya, tindakan Abdul Gani menggugurkan Farah dari pasukann pendakwaan tanpa mengesahkan atau menafikan dakwaannya itu semata-mata untuk menyelamatkan diri dan Jabatan Peguam Negara yang ditadbirnya.

"Beliau (Abdul Gani) tidak mahu mengambil risiko ke atas dirinya kerana pertamanya beliau tahu bahwa sekiranya beliau menafikan lebih banyak keburukan akan terdedah.

"Bahkan, beliau paling risau sekiranya saya mendedahkan satu lagi hubungan sulit, iaitu antara beliau dan Ketua Bahagian Hal Ehwal Antarabangsa, Datuk Azailiza Mohd Ahad," katanya seperti dalam artikelnya.

Tuntas dari itu, beliau membuat rumusannya sendiri berhubung ketetapan terbaru Mahkamah Tinggi menolak permohongan Anwar, Ketua Pembangkang untuk menggugurkan kes liwat disebabkan wujudnya hubungan romantis yang membabitkan saksi utama, Saiful.

"Dengan erti kata lain, adakah berlaku sebarang 'cakap-cakap di ranjang' semasa hubungan sulit tersebut diadakan?"

"Dan mahkamah yakin tidak ada 'cakap-cakap di ranjang', hanya hubungan intim sahaja. Jadi tidak ada salah pendakwaan dan maka pertuduhan terhadap Anwar itu tidak perlu digugurkan," beliau bertegas.

Pendedahan terbaru yang dibuatnya semalam itu dijangka memetakan sekali lagi keputusan berunsur politik di Istana Keadilan dan Jabatan Peguam Negera kelak.

Tiada ulasan: