"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Minuman beralkohol: Kanak-kanak minum bir

Harakahdaily
KUALA LUMPUR, 24 Ogos:
Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) amat prihatin berhubung kebanjiran minuman ringan beralkohol dalam pasaran dengan bertopengkan minuman ringan.

Manakala undang-undang dengan jelas menyatakan bahawa minuman beralkohol dilarang kepada mereka yang berusia di bawah 18 tahun, minuman ini dijual kepada kanak-kanak sekolah tanpa sekatan di pasar raya dan kedai 24 jam.

Presiden CAP, SM Mohamed Idris berkata, isu minuman beralkohol yang dijual sebagai minuman ringan bukanlah perkara baru.

Pada 1997, katanya CAP mendedahkan minuman ringan bernama Alcopops dijual sebagai minuman ringan sedangkan ia mengandungi sehingga 5% alkohol, masalah yang sama kemudiannya didedahkan lagi pada 2003.

Katanya, kajian CAP menunjukkan pada masa ini lebih daripada 15 jenis minuman ringan beralkohol berada di pasaran.

Minuman ringan beralkohol ini yang boleh didapati di dalam botol 275 ml dijual dengan harga RM4 hingga RM10.

Botol berisi jus berwarna yang menarik dengan nama tropical fruit, ice lemon tea, jus oren, lemon original tanke, lemon and lime flavour, orange-lemon flavour dan sebagainya.

Katanya, pengeluar menggunakan warna yang amat menarik yang sudah pasti mempengaruhi pengguna terutama sekali kanak-kanak dan remaja untuk mencubanya dan kemudiannya akan ketagih.

Contohnya, kata beliau minuman ringan ini juga dikeluarkan dengan warna merah jambu yang akan menarik kanak-kanak perempuan untuk mencubanya.

“Malah dengan sedikit kesan alkohol dalam minuman ringan menjadikan ia minuman beralkohol, apatah lagi kandungan alkoholnya 4% hingga 6.3% dalam minuman ringan ini,” katanya.

Menurutnya, bir yang diminum dengan meluas mengandungi 5% alkohol yang bermakna kandungan alkohol dalam minuman ringan ini jauh melebihi kandungan alkohol dalam bir.

Katanya, kebimbangan mula dirasai oleh guru-guru di Pulau Pinang selepas mendapati pelajar-pelajar mereka mengambil minuman ringan ini hampir setiap hari walaupun harganya tinggi.

“Menyedari akan minuman ini boleh menjadikan mereka ketagih kepadanya, guru ini telah meneliti label pada botol dan amat terkejut apabila mendapati minuman itu mengandungi alkohol.

“Menyedari betapa seriusnya masalah ini, beliau kemudiannya membawa perkara ini ke perhatian pihak CAP,” katanya.

Jelasnya, apabila CAP menemubual beberapa orang pelajar yang mengambil minuman itu, mereka tidak menyedari bahawa minuman itu mengandungi alkohol.

Tambahnya, sesetengah daripada mereka menyuarakan rasa terkejut apabila mengetahui bahawa mereka selama ini sebenarnya mengambil minuman beralkohol.

Menurutnya, label yang jelas dengan maklumat kandungan alkohol tidak memberikan apa-apa makna memandangkan ia dicetak dalam huruf yang kecil dan ditenggelami oleh label berwarna dan menarik.

CAP, ujarnya percaya minuman ringan beralkohol boleh membawa kepada kegiatan samseng (gangsterisme) dalam kalangan pelajar sekolah.

Menurut Menteri Pendidikan Tan Sri Muhyiddin Yassin, pada 2005, 32 pelajar terlibat dalam gangsterisme.
Bacac selanjutnya di sini

Tiada ulasan: