"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Islam dan bukan Islam tidak rugi dengan Islamnya Lim Guan Eng

Misbahul Munir bin Masduki

Ternyata kenyataan Zahid terhadap isu Khutbah Jumaat di Pulau Pinang hanya memperlihatkan kedangkalan dan kejahilannya. Zahid bukan sahaja berbohong malahan sengaja menimbulkan provokasi jahat bagi menimbulkan kebencian orang Melayu terhadap Lim Guan Eng. Itulah cara Zahid berpolitik bagi meraih sokongan Melayu kepada UMNO dengan menanamkan bibit kebencian.

Zahid menggambarkan seolah-olah kerajaan negeri membenarkan atau mengarahkan khutbah Jumaat di masjid-masjid seluruh Pulau Pinang mendoakan kesejahteraan kepada Lim Guan Eng dan membuang doa untuk Yang Dipertua Agung.

Inilah kenyataan jahat dan bahaya dari seorang menteri yang bermentaliti rendah. Orang yang bermentaliti rendah sering mengambil kesempatan dar memutarbelitkan isu untuk kepentingan politik murahannya.

EXCO Agama Pulau Pinang telah menjawab dan menafikan tuduhan jahat Zahid.

Saya hubungi beberapa pimpinan PAS Pulau Pinang tentang isu ini. Menurut mereka, memang ada khatib membaca doa untuk Lim Guang Eng tetapi bukan memohon kesejahteraan dan keselamatan, doa yang dipohon adalah agar Allah swt memberi taufiq dan hidayah kepada Lim Guang Eng supaya terbuka hatinya untuk menganut Islam.

Inilah juga doa yang pernah nabi pohonkan kepada penduduk Thaif sewaktu mereka mengusir Rasulullah saw dengan cara yang sangat kasar dan biadab dari negerinya, "Ya Allah, berilah mereka petunjuk, sesunguhnya mereka ini kaum yang tidak mengetahui".

Rasulullah saw juga pernah berdoa agar salah satu dari pemuka quraisyh yang terkenal dengan kezaliman terhadap sahabat-sahabatnya mendapat hidayah.

Rasulullah SAW pernah berdoa ; "Ya Allah kuatkan Islam dengan Umar Al-Khatab atau Abu Jahal b. Hisyam" Hadtih riwayat At-Thabarani Dalam sebuah hadith lain yang diriwayatkan oleh At-Thabarani bahawa Rasulullah SAW juga pernah berdoa : "Ya Allah kuatkan Islam dengan Umar Al-Khatab"

Kalau itulah doa yang dibaca oleh khatib dan diaminkan oleh para jamaah yang ramai, tidak ada salah dan silapnya.

Doa untuk memberi hidayah kepada orang bukan Islam adalah amalan yang baik. Kerana itulah yang dilakukan oleh Rasulullah saw kepada Umar Al Khatab dan Abu Jahal. Dua orang ini terkenal dengan kejahatannya dalam menzalimi umat Islam, dua orang ini cukup berpengaruh.

Tiba-tiba Rasulullah saw berdoa agar salah seorang daripadanya menjadi Islam. Doa Rasulullah saw dimakbulkan, Umar Al Khatab yang dipilih oleh Allah swt dan ternyata Islam semakin kuat dengan Islamnya Umar Al Khatab.

Kita sepatutnya mengaminkan doa khatib tersebut agar Lim Guan Eng menerima Islam supaya dengan Islamnya beliau umat Islam di Pulau Pinang akan bertambah kuat dan terpelihara kepentingan dan kebajikannya.

Lim Guang telahpun menunjukkan sikapnya yang baik kepada umat Islam, sepanjang Ramadhan beliau turut berbuka puasa besama umat Islam sekalipun beliau tidak berpuasa, turut menyumbangkan more berbuka puasa di masjid-masjid dan surau, memberi peruntukkan yang banyak kepada Jabatan Agama Islam Pulau Pinang bagi menjalankan aktiviti Islam, mengiktiraf para penghafaz al Quran dengan memberi sumbangan wang ringgit dan sijil penghargaan, menghadiri semua upacara sambutan hari kebesaran Islam dan sebagainya.

Itulah sikap baik yang beliau tunjukkan kepada Islam sekalipun beliau tidak beragama Islam. Orang macam ini sekalipun berjasa kepada Islam tetapi di sisi Allah orang ini tetap tetap tidak beriman, orang yang tidak beriman sekalipun membuat kebajikan tetapi tidak diterima amalannya oleh Allah swt selagi tidak beriman, sebagaimana Abu Talib (bapa saudara nabi), banyak jasanya kepada Rasulullah saw, tetapi disebabkan tidak beriman, dia tetap kafir di sisi Allah swt.

Kebaikan dan sumbangan Lim Guan Eng cukup banyak di Pulau Pinang berbanding Ketua-ketua Menteri sebelumnya. Supaya kebaikannya dibalas oleh Allah swt di akhirat kelak, lebih baik kita doakan Lim Guang Eng agar terbuka hatinya untuk menerima Islam sebagai anutannya.

Dengan Islamnya beliau, bertambah lagilah saudara seaqedah kita. Saya percaya keadilan Islam akan lebih terserlah di bumi Pulau Pinang dengan Islamnya Lim Guan Eng.

Umat Islam dan bukan Islam Pulau Pinang tidak akan rugi dengan Islamnya Lim Guan Eng, yang rugi UMNO BN. UMNO BN makin lemah manakala PAS dan PR semakin kuat. Itu yang Zahid sangat takut dan bimbang. Pengaruh PR dibawah kepimpinan Lim Guan Eng semakin menebal di Pulau Pinang, ketakutan Zahid inilah yang akhirnya mendorong Zahid bercakap merapu dan mengarut.

Misbahul Munir bin Masduki, SU Perhubungan PAS Perak.

Tiada ulasan: