"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Masyarakat majmuk: PAS tonjol keindahan Islam

Harakahdaily
MARANG, 26 Sept: Dalam menjamin keharmonian hidup masyarakat majmuk yang terdiri daripada pelbagai kaum, PAS sentiasa mengambil pendekatan seperti dianjur Islam, kata Ustaz Nasharudin Mat Isa.
Timbalan Presiden PAS itu berkata, PAS berpendirian seperti apa yang pernah diungkap sahabat nabi, Saidina Ali iaitu "Orang Islam adalah saudara seiman, orang bukan Islam adalah saudara seinsan".

Beliau berkata demikian ketika berceramah di Kampung Titian Baru, Bukit Payong, malam semalam.

"Itulah keindahan Islam, itulah perjuangan PAS dan itulah beza kita dengan Umno," katanya lagi.

Beliau berkata demikian, sebagai mengulas beberapa isu perkauman yang sedang dimainkan dalam negara.

Tambahnya lagi, PAS sentiasa menghormati kaum lain kerana mereka juga mempunyai jasa terhadap negara.

PAS juga, jelasnya telah membuktikan pengiktirafannya kepada kaum lain dengan menubuhkan Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) yang dianggotai kaum Cina dan India.

Mengulas dakwaan bahawa Melayu dan Islam lemah jika Pakatan Rakyat memerintah, beliau berkata yang melemahkan Melayu dan Islam adalah Umno.

"Belum pun kita perintah negara, Melayu dan Islam sekarang sudah berada dalam keadaan terancam.

"Ini adalah akibat kegagalan Umno kerana tidak termaktub pun dekat mana-mana bahawa perjuangan mereka adalah memperjuangkan agama Allah," katanya.

Berbeza dengan Umno, PAS katanya lagi menakrifkan politik sebagai mengurus dan membawa rakyat lebih dekat dengan kebaikan.

Tiada ulasan: