SALWA SHA’ARI
KLANG: Seorang pelajar tingkatan empat dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini pada Selasa, atas tuduhan menculik dan mencabul seorang murid tahun dua, dua minggu lalu.
Pertuduhan terhadap remaja berusia 16 tahun itu dibacakan di hadapan Majistret Afifah Mamat @ Yusof.
Bagaimanapun, tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada pesalah muda tersebut.
Dia didakwa menculik mangsa yang berusia lapan tahun itu pada pukul 6.40 petang, 25 Oktober lalu di hadapan sebuah sekolah di Pandamaran, di sini dengan niat untuk didedahkan kepada bahaya bunuh.
Bagi kesalahan itu, pendakwaan dikendalikan mengikut Seksyen 364 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman yang hendaklah diseksa dengan bunuh atau penjara 30 tahun atau sebatan, jika sabit kesalahan.
Pesalah muda itu turut menghadapi pertuduhan menggunakan kekerasan jenayah terhadap mangsa dengan mencium kepala, dahi dan membuka pakaian mangsa.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah ladang kelapa sawit di Teluk Gong, Pandamaran pada antara pukul 6.40 petang dan 7.10 malam, hari yang sama.
Remaja tersebut ditangkap sehari selepas kejadian.
Pendakwaan dikendalikan mengikut Seksyen 354 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun, denda atau sebatan, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Shahrul Ekhsan Hasim memohon supaya mahkamah dapat menetapkan sebutan semula kes di Mahkamah Juvana memandangkan pesalah muda itu adalah di bawah umur.
Afifah membenarkan permohonan tersebut dan sebutan semula ditetapkan pada 11 November depan.
-mstar-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan