"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Bekas Jurulatih Basikal Kebangsaan Daud Ibrahim Maut Dalam Kemalangan

REMBAU: Bekas jurulatih basikal kebangsaan yang juga jaguh lumba basikal negara, Daud Ibrahim meninggal dunia apabila kereta yang dipandunya dilanggar dari belakang oleh sebuah treler di Kilometer 232.6, Lebuh Raya Utara-Selatan dekat sini, awal pagi ini.

Jurucakap polis berkata Daud, 63, yang beralamat Jalan Daud, Muar, Johor meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan mayatnya dihantar ke Hospital Tampin untuk bedah siasat.

Beliau berkata kejadian berlaku pada kira-kira pukul 1 pagi ketika Allahyarham dan juga treler berkenaan yang membawa kontena, sedang dalam perjalanan menghala arah selatan.

Pemandu treler Ja'afar Abu Bakar, 44, berkata kereta di hadapannya secara tiba-tiba keluar dari lorong kecemasan dan terus masuk ke lorong pertama menyebabkan beliau gagal mengelak lalu melanggar bahagian belakang kereta itu, menyebabkan ia remuk.

Sepasukan enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Rembau mengambil masa kira-kira lapan minit untuk mengeluarkan mayat Allahyarham yang tersepit.

Allahyarham yang memenangi pingat emas Sukan Asia dan Sukan SEAP dalam acara berbasikal, pernah diberi penghormatan untuk menyalakan obor Sukan SEA ke-21 di Stadium Nasional di sini pada 2001.

Allahyarham yang membuat penyertaan sulungnya pada Sukan SEAP 1969 di Rangoon, mula menempa nama apabila meraih pingat emas dalam acara 1,600m di Sukan Asia pada 1970.

Setahun kemudian, beliau terus menguasai acara lumba basikal pada Sukan SEAP di Kuala Lumpur dengan meraih lima pingat emas, dan Allahyarham juga pernah mengambil bahagian dalam Sukan Komanwel ketujuh di Christcurch, New Zealand pada 1974 dan Sukan Olimpik 1972 di Munich. 
-Bernama-

Tiada ulasan: