"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

SU Agung: Zaid masih calon, belum ada notis rasmi tarik diri


KUALA LUMPUR, 8 Nov: Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail berkata, Datuk Zaid Ibrahim masih dalam saingan timbalan presiden memandangkan sekretariat pemilihan parti masih belum menerima notis yang beliau telah menarik diri daripada bertanding.

Bercakap kepada The Malaysian Insider Saifuddin berkata, pengumuman dibuat menerusi blognya pagi ini bukan satu notis rasmi untuk menarik diri daripada bertanding jawatan nombor dua itu.

“Sehingga beliau menghantar notis rasmi, beliau masih kekal dalam persaingan. Media hanya memetik pengumuman beliau daripada blognya,” kata Ahli Parlimen Machang ini.

Saifuddin (gambar) menjelaskan, Zaid yang juga Pengerusi PKR Wilayah Persekutuan perlu menghantar notis rasmi kepada parti berhubung perkara tersebut.

Sehubungan itu, Saifuddin juga berkata, Zaid mempunyai segala hak untuk membuat keputusan sendiri.

Katanya, parti tiada rancangan untuk mengadakan sebarang mesyuarat untuk membincangkan keputusan Zaid menarik diri daripada bertanding ataupun dakwaannya bahawa wujud manipulasi dan kecacatan dalam proses pemilihan.
Dalam pengumuman dibuat awal pagi tadi, Zaid berkata beliau meletakkan semua jawatan dalam PKR dan menarik diri daripada bertanding jawatan timbalan presiden di sebalik siri dakwaan pemilihan parti dicemari kecacatan dan tidak telus.

Zaid berkata, beliau mengambil keputusan itu kerana tiada usaha di kalangan pucuk kepimpinan parti untuk menangani pelbagai isu manipulasi dan amalan-amalan pemilihan tidak adil meskipun isu terbabit telah dibangkitkan berulang kali.

“Saya ingin mengumumkan keputusan saya menarik diri daripada sebagai salah seorang calon yang bertanding jawatan timbalan presiden PKR dan kesemua jawatan yang dipegang dalam parti,” katanya.

Zaid, bekas anggota Kabinet kerajaan pusat, menyertai PKR pertengahan tahun lalu. Beliau kini merupakan anggota Majlis Pimpinan Pusat (MPP) dan menganggotai Biro Politik.

Bagaimanapun beliau tidak menyebut sama ada akan kekal bersama PKR sebagai ahli biasa.

Pucuk kepimpinan parti itu sebelum ini termasuk yang terbaru semalam menafikan wujudnya sebarang elemen manipulasi dan penyelewengan dalam proses pemilihan secara langsung yang julung kali diadakan....

Tiada ulasan: