"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Pemilihan PKR: Chegubard pun nak tarik diri

KUALA LUMPUR, 10 Nov: Calon ketua sayap pemuda PKR Badrul Hisham Shaharin akan memutuskan sama ada kekal dalam saingan ataupun menarik diri daripada bertanding - mengambil langkah Datuk Zaid Ibrahim — malam ini di sebalik dakwaan pemilihan parti berhadapan dengan kepincangan dan kecacatan.

Zaid mengumumkan pendirian menarik diri daripada bertanding jawatan timbalan presiden kelmarin dan melepaskan kesemua jawatan dalam parti itu.

Badrul Hisham berkata, beliau akan membuat keputusan “penting” demi kelangsungan parti dan juga bagi memenuhi harapan rakyat terhadap PKR.

“Kita melihat apa yang berlaku sekarang ini sebagai satu krisis yang memerlukan satu keputusan, saya akan mengambil kira aspek kelangsungan parti dan memenuhi harapan rakyat,” kata beliau.

“Seluruh kepimpinan muda akan memutuskan bersama untuk mencari penyelesaian terhadap kepincangan yang timbul, kita akan membuat keputusan termasuk sama ada perlu atau tidak menarik diri daripada bertanding,” kata beliau yang turut dikenali sebagai “Chegubard” kepada The Malaysian Insider hari ini.

Kata Badrul Hisham, oleh kerana beliau membuat keputusan dengan mengambil kira pandangan pelbagai pihak secara kolektif semasa hendak bertanding sebelum ini, apa jua keputusan malam ini akan diputuskan secara bersama.

“Ini cara kami membuat keputusan, kami mahu membuat keputusan mengenai penyelesaian kepada kepincangan semasa secara kolektif,” kata beliau lagi.

Kira-kira 100 pemimpin dijangka berhimpun malam ini, kata beliau.

Pertemuan malam ini yang dinamakan “Himpunan Anak Muda Selamatkan Keadilan” akan berlangsung di Dewan Perniagaan Cina Selangor, 9 malam ini.

Ahli Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar, salah seorang pesaing jawatan naib presiden, juga akan turut hadir.

Jawatan ketua AMK disaingi penyandang Shamsul Iskandar Mohd Akin dan Badrul Hisham.

Saingan jawatan ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) masih didahului Shamsul Iskandar dengan 1,455 undi manakala Badrul Hisham mengekori rapat dengan 1,428 undi.

Sebelum ini termasuk semalam, Setiausaha Agung Saifuddin Nasution Ismail menafikan pemilihan parti dicemari manipulasi dan penyelewengan sebagaimana didakwa oleh sesetengah pihak termasuk Zaid.

Beliau juga menafikan sekeras-kerasnya dakwaan blog bahawa kertas undi pemilihan pusat PKR boleh dibeli.....
-malaysianinsider-

Tiada ulasan: