"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Pelakon, tunang ditahan kes dadah dijangka bebas esok

KUALA LUMPUR: Seorang pelakon lelaki dan tunangnya yang ditahan Jumaat lalu kerana disyaki terbabit dengan penyalahgunaan dadah dijangka dibebaskan esok.

Timbalan Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Supt Amiruddin Jamaluddin berkata tempoh tahanan reman kedua-dua mereka akan berakhir esok dan berkemungkinan akan dibebaskan dengan jaminan polis selepas semua keterangan diambil.

"Polis telah mengambil keterangan daripada pelakon itu dan tunangnya, setakat ini kita berpuas hati dengan kerjasama yang diberikan.
"Siasatan diteruskan untuk mengetahui punca bekalan dadah diperolehi dan sejauh mana penglibatannya dalam aktiviti penyalahgunaan dadah," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Amiruddin berkata, polis turut menyiasat sama ada kedua-dua suspek terbabit dalam pengedaran dadah.

Jumaat lalu, pelakon dan tunangnya itu ditahan ketika sedang menunggu bekalan dadah dari bekas teman lelaki wanita itu (tunang) di sebuah stesen minyak di Lebuhraya Lingkaran Tengah (MRR2) di Ampang Jaya.

Hasil ujian saringan air kencing polis mendapati kedua-dua mereka positif dadah.
Amiruddin berkata, polis masih mengesan bekas teman lelaki wanita itu yang dipercayai masih lagi berada di sekitar Lembah Klang bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952. 
-Bernama-

Tiada ulasan: