KUALA LUMPUR, 9 NOV: Bank Dunia mengunjurkan ekonomi Malaysia akan menyusut daripada 7.4 peratus tahun ini kepada 4.8 peratus pada 2011 walaupun mencatat pemulihan tahunan yang hebat.
Memetik laporan Bernama, unjuran itu adalah berasaskan ekonomi global yang lemah, yang merupakan sumber utama ketidaktentuan jangka pendek.
Ahli ekonomi kanan Jabatan Asia dan Pasifik bank itu, Philip Schellekens,berkata pemulihan yang diusahakan dengan keras oleh Malaysia terus sukar apabila eksport dan beberapa petunjuk pengeluaran perusahaan perlahan pada pertengahan tahun, akan terus menyusut memandangkan ekonomi utama dan sektor kewangan dunia dilanda kemelesetan berpanjangan.
"Aktiviti ekonomi dijangka perlahan pada separuh kedua 2010. Berdasarkan asas yang rendah pada 2009, pertumbuhan 7.4 peratus dijangkakan pada 2010 sebelum perlahan kepada 4.8 peratus pada 2011," katanya dalam laporan dwitahunan Bank Dunia "Malaysia Economic Monitor November 2010: Inclusive Growth" yang dilancarkan di sini.
"Permintaan domestik dijangka terus memacu pertumbuhan jangka terdekat dan pengukuhan permintaan global, dari G3 (Kumpulan Tiga) dan China merupakan sumber utama ketidaktentuan," katanya.
Walaupun kemiskinan berkurangan dengan ketara, ketidaksaksamaan terus berada pada paras yang tinggi dan cabaran baharu muncul ketika negara mempersiap diri untuk menyertai ekonomi berpendapatan tinggi, kata Pengarah Sektor Pembangunan Manusia Asia Timur dan Pasifik Bank Dunia, Emmanuel Jimenez.
Untuk Malaysia memenuhi aspirasi pertumbuhan terangkum, laporan itu mencadangkan peluang meningkatkan pendapatan, mempromosi pelaburan dalam modal insan dan perlindungan sosial untuk golongan miskin dan mudah terjejas,dilaksanakan.
Laporan penuh Bank dunia boleh didapati di laman web www.worldbank.org/my.
-tvsnews-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan