"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Sultan S'gor batal hadiri majlis jamuan kerana Yayasan Selangor membazir

Sultan Selangor membatalkan keberangkatan ke majlis jamuan tengahari anjuran Yayasan Selangor Isnin ini kerana dukacita dengan kosnya yang terlalu tinggi.

Baginda menyifatkan jumlah perbelanjaan sebesar itu bagi majlis makan tengahari sempena sambutan ulang tahun ke-40 penubuhan Yayasan Selangor sebagai satu pembaziran.

Majlis itu dijadualkan di Asrama Tun Dr Ismail, Kampung Pandan, Kuala Lumpur.

Berikut adalah kenyataan penuh sekretariat akhbar kerajaan negeri Selangor:

Adalah dimaklumkan bahawa D.Y.M.M. Sultan Selangor telah membatalkan hasrat Baginda untuk berangkat ke Majlis Sambutan Ulang Tahun Ke 40 Yayasan Selangor yang akan diadakan pada hari Isnin, 15 November 2010, di Asrama Tun Dr. Ismail, Kampung Pandan, Kuala Lumpur.

Pada mulanya Baginda telah berkenan berangkat menghadiri majlis tersebut, atas dasar Yayasan Selangor merupakan badan kebajikan Kerajaan Negeri yang bertanggungjawab memantapkan pendidikan anak-anak dari keluarga yang kurang berkemampuan dari kawasan luar bandar di Selangor.


Baginda percaya keberangkatan Baginda ke majlis tersebut dapat menyuntik semangat warga kerja Yayasan Selangor dan juga bagi menghargai jasa mereka dalam membantu meningkatkan pendidikan anak-anak dari keluarga yang kurang berkemampuan untuk mencapai kecemerlangan dalam bidang pelajaran yang dapat menjamin masa depan yang lebih cerah.


Di samping itu Baginda berharap dapat bermesra dengan anak-anak di bawah kelolaan Yayasan Selangor dan untuk memberikan motivasi agar mereka dapat belajar dengan lebih gigih.

Pada asalnya Majlis yang dicadangkan adalah Majlis Makan Malam, Baginda berpendapat Majlis Makan Malam akan menelan belanja yang tinggi dan Baginda telah menitah dan menasihatkan Yayasan Selangor untuk mangadakan Majlis Makan Tengahari.

Walau bagaimanapun, Baginda merasa terkejut dan amat dukacita apabila mendapat maklum bahawa kos perbelanjaan untuk Majlis Sambutan Ulang Tahun ini amat tinggi, ianya merupakan satu pembaziran dan tidak berfaedah.

Baginda berpendapat wang tersebut adalah lebih berfaedah jika digunakan untuk belanja pembelajaran dan kebajikan atau digunakan untuk membiayai lebih ramai pelajar dari golongan yang kurang berkemampuan selaras dengan visi, misi dan objektif penubuhan Yayasan Selangor.


Baginda juga telah dimaklumkan bahawa Y.A.B. Dato' Menteri Besar Selangor merangkap Pengerusi Yayasan Selangor sendiri tidak dimaklumkan mengenai perkara ini dan kos yang terlibat.

Akhir sekali Baginda menasihatkan Yayasan Selangor untuk lebih prihatin dalam menguruskan kewangannya dan memberikan fokus ke atas amanah yang dipertanggungjawabkan ke atas penubuhannya.
-malaysiakini-

Tiada ulasan: