"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Akhirnya Judin pergi juga ...

AHMAD LUTFI OTHMAN
Meskipun mendapat bantahan, Ketua Pengarah Kerja Raya, Prof Ir Dr Judin Abd Karim tetap ditukar, mulai 1 Mei depan ke jawatan barunya sebagai Ketua Pegawai Eksekutif CIDB (Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan), iaitu satu jawatan yang lebih rendah, yang meletakkannya seolah-olah diturun pangkat. Kes Judin ini cukup mengejutkan kerana inilah kali pertama dalam sejarah Jabatan Kerja Raya, ketua pengarahnya, yang dikenali ramai sebagai berintegriti tinggi, ditukarkan ke agensi lain.

Ramai warga JKR kecewa dengan langkah drastik itu.

Rata-rata mereka beranggapan ia satu tindakan bermotif politik bagi memencilkan seorang pegawai awam berpersonaliti mulia, yang dilihat sepanjang kerjaya terakhirnya di JKR boleh menyusahkan pihak yang "tamak dan rakus". Namun begitu, Judin pasrah. Mulai minggu lalu, beliau telah mengadakan lawatan perpisahan ke semua cawangan JKR di seluruh negara.

Desas-desus menyebut pertukaran Judin dikaitkan dengan projek kontroversi, pembinaan Istana Negara yang baru, selain ketegasan Judin berdepan karenah kontraktor kroni yang hanya mahu mengaut keuntungan sebanyak mungkin daripada dana awam. Projek ini diberikan secara runding terus (reka dan bina) kepada Maya Maju (M) Sdn Bhd, dengan  cadangan kos oleh kontraktor kepada kerajaan sebanyak RM1.1 bilion.

Hanya selepas kos berkenaan didedahkan Naib Presiden PAS, Mahfuz Omar di Dewan Rakyat dan turut dibangkitkan Harakah, baharulah perkara ini disemak dan dirunding semula dengan kontraktor. Akhirnya, projek ini telah dianugerahkan dengan kos RM650 juta. Cadangan pembinaan di peringkat awal di bawah kos RM400 juta. Bagaimanapun, kos projek Istana Negara kini telah meningkat hampir RM900 juta dengan pelbagai kerja tambahan (VO) dan skop tambahan yang dikatakan tiada dalam skop asal atau telah dikeluarkan semasa di peringkat awal.

Semua maklum dan bukanlah menjadi rahsia mengenai stail Maya Maju (dikatakan ala-samseng) apabila berkomunikasi dengan pegawai-pegawai kanan JKR yang terlibat dengan projek Istana Negara. Kontraktor berkenaan dikaitkan dengan "orang kuat" Umno Kedah. Ketika diberikan tender projek istana pada Oktober 2007, syarikat tersebut disenaraikan sebagai tidak aktif oleh Suruhanjaya Syarikat.

Menurut sumber, bukanlah mudah untuk Judin memastikan projek Istana Negara disiapkan mengikut jadual. Beliau dikatakan telah mengadakan mesyuarat koordinasi projek hampir setiap minggu di tapak istana dengan mewajibkan semua pengarah kanan hadir. Usaha beliau membuahkan hasil. Istana dijangka disiapkan pada pertengahan tahun ini. Inilah pendekatan yang pertama kali dibuat seorang Ketua Pengarah Kerja Raya dalam melaksanakan projek berprofil tinggi seperti ini.

Kontraktor dikatakan tidak menghormati JKR  dan cuba melibatkan raja (Raja Perlis sebagai wakil Majlis Raja-Raja Melayu) dalam membuat keputusan meletakkan Judin dalam keadaan yang sukar. Bagaimanapun beliau menghadapinya dengan tenang demi memastikan projek berjalan lancar. Memang sensitif menangani isu berkaitan pihak istana, apatah lagi apabila ada pihak tertentu yang memperalatkan nama raja untuk kepentingan mereka. Misalnya, apabila Lim Kit Siang mula membangkitkan hal berkaitan projek ini, timbul dakwaan bahawa beliau telah "menderhaka" kepada istana.

Malah, saya dapat menjangkakan, selepas Harakah dilihat mempertahankan Judin, tentunya beliau akan dilabelkan sebagai propembangkang atau penyokong Pakatan Rakyat. Ia hanya bagi mengalihkan isu sebenar daripada dibincangkan. Tuduhan liar terhadapnya sudahpun tersebar dalam blog-blog Umno. Walhal isunya jelas: Umno akan bermusuh dengan pegawai awam yang baik dan berwibawa sekiranya tidak dapat memenuhi kehendak politik dan nafsu serakah mereka bagi membolot kekayaan berlipat ganda dengan cara mudah.

Umno selama ini memang bergantung dengan dana awam melalui komisyen (terutama melalui projek rundingan terus apabila nilai kos dapat dinaikkan dengan mudah) bagi memenuhi tabung politik mereka, seterusnya "membeli undi" semasa pilihan raya. Judin bukan pegawai kerajaan  pertama dan terakhir yang menjadi mangsa.

Mungkin ramai lagi yang bersedia mengikuti telunjuk elit penguasa dan meraikan apa jua kehendak orang-orang politik di sekeliling, namun Judin akan dikenang sebagai kakitangan awam yang berusaha mempertahankan integriti sehingga terpelanting jawatan strategiknya.
Baca selanjutnya di sini

Tiada ulasan: