"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Gerakan Mengaibkan Anwar Sekeluarga Diperhebatkan

SHAH ALAM, 29 APRIL: Lebih banyak klip video seks fitnah untuk mengaibkan Ketua Pembangkang dan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim muncul di Youtube malam tadi untuk beberapa jam.

Ratusan ribu risalah mengandungi gambar-gambar dari video lucah itu ditabur di sekitar Lembah Klang, dalam memperhebatkan gerakan pihak tertentu untuk mengaibkan Anwar dan keluarganya.

Dalam pada itu, media arus perdana termasuk TV3 diberi arahan oleh "pihak atasan" untuk memberikan liputan meluas kepada ucapan sumpah laknat Datuk Shazryl Eskay di sebuah masjid di Sentul selepas solat Jumaat hari ini.

Anwar berkata video lucah berkenaan adalah kesinambungan fitnah sejak tahun 1998 dan beliau tidak akan tunduk kepada tekanan Umno dan Perdana Menteri Najib Tun Razak untuk berundur dari politik.

"Jika saya berundur dan melepaskan jawatan ini bermakna kita tunduk kepada rekaan politik Umno. Siapa yang patut menentukan sama ada saya patut berundur atau tidak. (Sudah tentu) parti-parti komponen Pakatan Rakyat dan pengundi yang membuat keputusan . Saya tidak akan tunduk kepada tekanan ini," kata Anwar kepada Malaysian Insider.

Empat klip video lucah setiap satu antara 4 minit hingga 4:24 minit dimuatnaikkan di Youtube di lihat "kemuncak" paparan video untuk mengaibkan Anwar dan keluarganya secara berleluasa.

Sejak video itu ditayangkan kepada wartawan oleh Eskay dan dua lagi Datuk T pada 21 Mac lalu, Anwar membuat laporan polis dan mengemukakan bukti bahawa beliau bukan pelaku video lucah itu.

Namun juak-juak Umno termasuk Najib terus menjadikan video itu sebagai modal politik, khususnya ketika pilihanraya negeri Sarawak.

Eskay, bekas Ketua Menteri Melaka Tan Sri Rahim Thamby Chik dan bekas bendahari Perkasa Shuib Lazim di laporkan menemui Najib di Bangunan Parlimen sehari selepas identiti mereka sebagai Datuk T di bongkar oleh Parti Keadilan Rakyat.

Empat klip terbaru di Youtube memaparkan aksi seks antara seorang berperut besar dengan seorang wanita berkulit cerah. .

Video yang dimuatkan oleh "rabiaab11" telah dikeluarkan dari Youtube kerana ia melanggarkan polisi lamanweb tersebut berhubung kandungan berunsur seks.

Berdasarkan maklumat pada Youtube, empat klip tersebut dimuatkan antara jam 2 petang hingga 6 petang semalam.

Anwar tidak menafikan serangan-serangan untuk menghina maruah beliau sekeluarga amat melukai hatinya tetapi berkata beliau bersyukur mempunyai keluarga yang mengamati perjuangannya.

"Saya ada keluarga yang hebat dan saya harus ucapkan terima kasih kepada mereka. Azizah dan anak-anak saya, meskipun ketika saya menjadi timbalan perdana menteri, mereka bukan anak timbalan perdana menteri (tetapi) mereka anak Anwar dan Azizah, kata beliau dengan senyuman,"kata Anwar.
-tvsnews-

Tiada ulasan: