"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Misbun Sidek sudah berpatah arang dengan BAM


MISBUN telah menolak tawaran kontrak baru BAM untuk membimbing skuad pelapis negara.
DRAMA Datuk Misbun Sidek dengan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) sudah berakhir.
Jurulatih perseorangan negara itu telah membuat keputusan menolak tawaran kontrak baru yang diberikan BAM kepada beliau untuk membimbing barisan pemain skuad pelapis negara.
Setiausaha Kehormat BAM, Ng Chin Chai berkata, Misbun membuat keputusan tersebut menerusi sepucuk surat yang diserahkannya kepada Presiden BAM, Datuk Mohd. Nadzmi Salleh petang kelmarin.
“Tidak ada siapa yang tahu Misbun ada menyerahkan surat itu kepada Datuk Nadzmi termasuklah saya sehingga presiden memaklumkan hal tersebut pagi tadi (semalam).
“Selepas mendapat tahu mengenai perkara itu, Kenny Goh (Pengurus Besar BAM) telah mengambil surat tersebut daripada Datuk Nadzmi dan kami telah membentangkannya pada mesyuarat Exco petang tadi (semalam).
“Dalam surat tersebut, Misbun mengatakan bahawa beliau menolak tawaran kontrak baru yang diberikan BAM dan kami juga telah sebulat suara menerima keputusan yang dibuat beliau itu,” kata Chin Chai yang turut menghadiri mesyuarat Exco BAM di Bukit Kiara semalam.
Mesyuarat Exco BAM itu telah dipengerusikan oleh Timbalan Presiden BAM, Tengku Kamil Ismail Tengku Idris Shah.
Ditanya adakah Misbun ada memberikan sebarang alasan mengapa beliau menolak tawaran tersebut, Chin Chai mememberitahu: “Tidak ada.
“Dalam surat itu, beliau hanya menyatakan bahawa beliau menolak tawaran yang diberikan oleh BAM.”
Dengan keputusan tersebut, Misbun kini tidak lagi berada dalam barisan kejurulatihan BAM.
“BAM ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada Misbun atas sumbangan serta jasanya yang telah banyak membantu dalam usaha menaikkan nama sukan badminton negara di pentas antarabangsa.
“Banyak yang telah Misbun lakukan demi sukan badminton negara dan itu kita tidak boleh menafikannya,” tambah Chin Chai.
Misbun mula menyertai BAM selaku jurulatih pada 2002 dan sepanjang tempoh lapan tahun bersama badan induk itu, beliau telah berjaya melahirkan ‘permata’ yang cukup berharga buat arena sukan badminton tanah air dengan kemunculan Datuk Lee Chong Wei.
Berkat tunjuk ajar serta bimbingan Misbun, Chong Wei kini bergelar jaguh No. 1 dunia sejak tahun 2008.
-kosmo-

Tiada ulasan: