"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Polis mahu lindungi Datuk T, usaha kenakan Anwar- Shamsul


KUALA LUMPUR: Pihak polis sekali lagi berdolak-dalik dalam isu video seks palsu, apabila mengeluarkan kenyataan yang menjurus usaha untuk mengenakan tuduhan terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Terbaru, kenyataan polis yang diumumkan Timbalannya yang baru dilantik, Datuk Khalid Abu bakar bahawa mereka tidak akan teragak-agak untuk mendedahkan pelaku yang didakwa mirip Ketua Pembangkang itu.
Ketua Angkatan Muda KEADILAN, Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata, pendirian polis itu dilihat cenderung menyebelahi Trio Datuk T, sedangkan polis telah membuat kenyataan untuk menyiasat ketiga-tiga saspek tersebut sebelum ini.
“Apakah mereka mempunyai keistimewaan? Daripada pemerhatian kita, setiap kali Rahim dan yang lain mengeluarkan kenyataan, ia ‘disambut’ oleh pihak polis, sama ada Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah atau pun Timbalannya.
‘Perkara ini adalah percubaan kepada keadaan untuk membina persepsi di kalangan orang ramai, sedangkan kes tersebut masih dalam siasatan. Ini menguatkan hujah kita bahawa dari awal lagi kes ini jelas bermotif politik.
“Apa yang kita lihat, kenyataan polis seolah-olah mengugut pengadu (Datuk Seri Anwar Ibrahim),” kata Shamsul kepada Keadilandaily.
Menurut Shamsul, polis menerusi Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Datuk Acryl Sani Abdullah, 18 April lalu mengesahkan kemungkinan untuk mengenakan tindakan terhadap Datuk T kerana kesalahan mengedar dan menayang video lucah- mengikut seksyen 292 Kanun Keseksaan.
Bagaimana pun, sehingga kini Trio tersebut yang terdiri daripada bekas Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Abdul Rahim Tamby Chik, Ahli Perniagaan Datuk Eskay Shazryl Abdullah dan bendahari Pribumi Perkasa, Datuk Shuib Lazim, masih belum dikenakan tindakan.
Tindakan tidak konsisten
Dalam pada itu, Shamsul mempersoalkan kenyataan polis yang tidak konsisten, apabila mendedahkan kepada media mengenai maklumat separuh masak yang mengelirukan orang ramai.
Dalam laporan Berita Harian bertarikh 21 April 2011, Datuk Acryl Sani Abdullah Sani dilaporkan berkata, video tersebut dianalisis oleh sebuah agensi penyiaran yang tidak dinamakan dan kononnya berpangkalan di Korea Selatan.
Manakala pada hari ini, Pengarah JSJ Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Bakri Zinin seperti dilaporkan Bernama memaklumkan, video tersebut dianalisis oleh pakar tempatan.
“Yang mana satu sebenarnya? Kenyataan yang dikeluarkan oleh polis tidak konsisten dan mengelirukan. Dalam hal ini, wujud dua set undang-undang. Satu untuk Barisan Nasional dan satu lagi untuk Anwar Ibrahim.
Malah kata Shamsul, keterangan yang diberi Eskay sebelum ini, juga bercanggah dengan kenyataan yang dibuat pihak polis.
Antaranya Eskay memaklumkan bahawa kejadian tersebut membabitkan seorang pelacur warganegara China di sebuah hotel di Kuala Lumpur.
Manakala pihak polis pula menyatakan pelaku wanita dalam video seks tersebut adalah seorang pelajar sebuah kolej swasta dan ia dirakam di sebuah kondominium di ibu negara.
“Polis sepatutnya meneruskan siasatan terhadap ‘Trio Datuk T’, bahkan sehingga hari ini, laporan Qazaf terhadap mereka bertiga telah dibuat. Namun tiada sebarang tindakan diambil.
“Ini adalah percubaan Barisan Nasional untuk meneruskan siri-siri serangan terhadap Anwar. Selepas kes fitnah liwat gagal, kini mereka bersiap sedia untuk memulakan serangan terbaru,” ujar Shamsul.

Tiada ulasan: