"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Matilah BN kali ini

Suhaimi Taib
Mengapa Barisan Nasional (BN) takut dengan Himpunan Bersih 2.0, 9 Julai ini kalau benar dia anak jantan? BN sebenarnya takut kepada bayang-bayang sendiri. BN boleh berdiam diri, tidak perlu menggelabah dengan mengaitkan nama Yang di-Pertuan Agong, mendakwa berlaku huru hara dan menggunakan polis untuk provokasi himpunan tersebut, jika parti itu sendiri anak jantan.

Pengerusinya, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak, tidak payah mendakwa pembangkang bukan anak jantan kerana ia bukan anjuran parti pembangkang tetapi anjuran NGO yang ada kaitan dengan rakyat dan tuntutan mereka dari segenap lapisan masyarakat.

BN begitu bacul dengan sikap tak endahnya, apabila bukti terang-terangan adanya pengundi hantu dalam daftar pemilih terbaru yang dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPRM) 13 Mei lalu yang didedahkan Ahli Parlimen Gombak, Azmin Ali di Parlimen baru-baru ini.

Ia diperakui kemudiannya oleh SPRM sendiri. Mengapa BN diam? Mengapa tidak bertindak terhadap bukti tersebut dengan membuat pembersihan semula daftar pemilih itu.

Bersih menuntut 8 perkara, mengapa tidak menerima tuntutan tersebut yang telah dikemukakan sejak tahun 2008 lagi. BNlah bukan anak jantan kerana tidak telus dan terbuka membuat pembetulan. Jika terima tuntutan tersebut, BN percaya dia akan kalah dalam pilihan raya.

Takut apa kalah pilihanraya kalau kita di pihak yang benar. Hari ini orang benci dengan sikap telus dan terbuka kita, esok orang akan suka semula sikap kita tersebut. Itulah sikap anak jantan.

Jadi, jelas BN berkuasa atas penipuan, penyalahgunaan kuasa, rasuah, diktatorship, tamak haloba, takut kalah dan takut hilang kuasa sebagaimana Najib berkata, susah jadi naib johan sebagaimana ucapannya dalam satu majlis baru-baru ini.

Najib menyindir dan menggambarkan BN berada dalam situasi tertekan dan 'pessimistic' (putus harapan) untuk menarik sokongan rakyat umum yang sudah bosan dengan kerenah pemerintahan parti itu.

Sekaligus BN sudah berada di persimpangan jalan. BN tidak relevan lagi untuk mendokong cita-cita dan harapan rakyat untuk melihat suatu pemerintahan yang adil dan berkebajikan kerana parti itu tidak mendokong cita-cita rakyat.

Parti itu begitu sukar untuk menukar warna kelam dan hodoh terpalit di mukanya selama ini dalam waktu terdekat kerana rakyat sudah kenal siapa BN atau Umno yang juga parti teras Barisan Nasional itu. Jika datang kepada rakyat dalam keadaan, menyembah-nyembah sekalipun ia sukar lagi diterima, melainkan mereka menerima segala tuntutan rakyat terhadap pilihan raya adil dan bersih.

Tetapi bahananya akan menimpa BN kalau ditunaikan tuntutan tersebut, iaitu kalah pilihan raya. BN memang takut kalah kerana kalau kalah pilihan raya, kata orang 'matilah BN'. Parti itu hidup dengan penipuan dan penyelewengan. Tanpanya parti itu mati. jadi kalau parti itu bersih sebagaimana tuntutan Himpunan Bersih 2.0, kekotorannya hilang.

Pemimpinnya memang suka mempertahankan kekotoran itu kerana mereka hidup dengan kekotoran tersebut.

1 ulasan:

amatMok berkata...

Kalau soseorang lelaki tu takut kat bini, kira anak jantan kah dia?