Aziz Muda
KUALA LUMPUR, 28 Jun: Sikap para pemimpin Umno yang sentiasa berusaha melihat kecacatan orang lain sehingga sanggup mencipta fitnah dan cerita yang bukan-bukan untuk menjatuhkan orang lain, jelas membuktikan mereka tergolong dalam golongan manusia yang tidak takut kepada Allah.
Di samping itu, mereka juga turut memiliki beberapa ciri-ciri lain yang semakin memperjelaskan lagi kedudukan mereka sebagai golongan yang tidak takut kepada Allah, berbanding golongan yang benar-benar takut kepada Allah.
AJK Dewan Pemuda PAS Pusat, Mohd Nor Hamzah (gambar) berkata, orang yang tergolong dalam golongan yang takut kepada Allah mempunyai sekurang-kurangnya 4 tanda, manakala mereka yang tergolong dalam golongan yang tidak takut kepada Allah pula mempunyai sekurang-kurangnya 5 tanda.
Menurut beliau, tanda-tanda orang yang takut kepada Allah, pertamanya, mereka tidak akan melakukan perkara-perkara yang ditegah oleh Allah sama ada secara terang-terangan atau tersembunyi.
Katanya, tanda keduanya, jika melakukan dosa, mereka akan segera bertaubat kepada Allah sehingga menyebabkan mereka sentiasa merendah diri dan beradab kepada Allah serta turut beradab sesama manusia.
"Tanda ketiga, mereka akan sentiasa melaksanakan kebajikan dan mencegah keburukan. Manakala tanda keempat, mereka akan sentiasa istiqamah dengan perkara-perkara kebaikan," katanya ketika menyampaikan tazkirah di ibu pejabat Harakah, di sini, hari ini.
Orang yang tidak takut kepada Allah pula, menurut beliau, secara automatik merupakan golongan yang hanya takut kepada manusia sehingga sanggup melakukan sebarang perbuatan yang diarahkan oleh ketuanya, walaupun tindakan tersebut ternyata bertentangan dengan ajaran Islam.
Katanya, selain itu, mereka tidak melaksanakan kerja-kerja jihad dan tidak melaksanakan amar makrif nahi mungkar dalam hidupnya, sebaliknya akan sentiasa berusaha mencari kecacatan orang lain.
"Ini samalah seperti sikap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang sentiasa berusaha melihat atau mencari kecacatan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang akhirnya turut mencipta cerita yang bukan-bukan terhadap Anwar termasuk isu video seks," katanya yang juga Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu.
Dalam masa yang sama, menurutnya, para pemimpin Umno sememangnya turut mempunyai tanda-tanda lain sebagai orang yang tidak takut kepada Allah tetapi hanya takut kepada manusia, apabila mereka tidak bersedia melakukan kerja-kerja kebaikan bersama golongan yang berusaha melakukan kebajikan dalam hidup ini.
"Pemimpin Umno jelas tidak pernah bersama-sama dengan PAS untuk melakukan kebajikan. Malah mereka menentang keras usaha PAS untuk memerintah secara Islam dan menegakkan Islam sebagai ad-deen di tanah air," katanya yang juga Adun Bukit Payong, Terengganu.
Selain itu, tegasnya, pemimpin-pemimpin Umno turut mempunyai tanda kelima sebagai orang yang tidak takut kepada Allah tetapi hanya takut kepada manusia, apabila mereka juga sanggup bermujamalah sehingga melakukan rasuah dalam hidup ini.
Sebagai orang Islam, beliau turut menyeru kesemua golongan agar bersama-sama merenungi diri supaya tidak terus berada dalam golongan manusia yang hanya takut kepada Allah, tetapi berusaha memperbaiki diri agar benar-benar menjadi manusia yang benar-benar takut kepada Allah dalam erti kata sebenarnya.
Beliau turut menyenaraikan lima punca yang menyebabkan manusia tidak takut kepada Allah, tetapi hanya takut kepada manusia iaitu terlalu banyak kezaliman yang berlaku dalam masyarakat, kurang undang-undang yang menjaga nilai-nilai kemanusiaan, bimbang terhadap kemiskinan serta tidak yakin dengan apa yang ada di sisi Allah.
Selain itu, manusia juga akan menjadi takut kepada manusia sehingga tidak takut kepada Allah apabila diselubungi pemimpin-pemimpin yang sombong yang merasakan dirinya tidak akan jatuh ekoran kekuatan yang dirasakan ada padanya dan ancaman pemerintah yang amat dahsyat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan