Nabihah Hamid
Kuala Lumpur: Pelakon, pengacara dan penulis lirik, Bob Lokman berkata soal siasat yang dilakukan polis terhadap Sasterawan Negara, Datuk A. Samad Said hanya akan mengundang lebih banyak kemarahan rakyat.
Beliau mengulas tindakan polis hari ini memanggil Samad Said, atau lebih mesra dengan panggilan Pak Samad untuk memberi keterangan di Balai Polis Dang Wangi, berhubung Himpunan Bersih 2.0.
“Tindakan ini tidak bijak dan akan menimbulkan kemarahan rakyat yang hanya ingin berhimpun secara aman.
“Polis hanya bertujuan untuk untuk menakut-nakut rakyat dan mengurangkan jumlah yang turun pada perhimpunan Bersih, namun tekanan akan menjadi lebih buruk,” katanya ketika dihubungi Keadilandaily pagi tadi.
Bob Lokman yang juga aktivis PAS menyifatkan perkara itu tidak wajar dilakukan dan bukan satu tindakan bijak oleh pihak berkuasa.
Tambah beliau ia jelas menunjukkan demokrasi negara semakin terhimpit dan tidak terbuka.
“Apa salahnya Samad Said sehingga perlu dipanggil ke balai polis? Lagipun, (Himpunan Bersih) ini proses perubahan dan beliau adalah pejuang yang lama sejak dari kemerdekaan lagi,” tegas beliau.
Dalam pada itu, Bob Lokman juga tidak menolak kemungkinan jika beliau juga akan ditangkap jika hanya duduk menyaksikan Perhimpunan Bersih, 9 Julai ini.
A Samad Said dipanggil untuk disoal siasat pada jam 2.30 petang, dipercayai kerana ucapan nya pada majlis pelancaran Bersih 2.0 di ibu negara 19 Jun lalu.
Selain Pak Samad, Pengerusi Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) Datuk Ambiga Sreenevasan akan turut disoal siasat oleh polis hari ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan