"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Polis ‘tengok’ 300 Pemuda Umno berhimpun, ugut bakar ibu pejabat KEADILAN


Sidiqin Omar
DAMANSARA: Kira-kira 300 Pemuda Umno yang berkonvoi dengan motosikal, kereta dan kenderaan pacuan 4 roda berhimpun depan ibu pejabat KEADILAN dengan lempar ugutan untuk membakar bangunan itu, jika pimpinan KEADILAN meneruskan Himpunan Bersih.
Konvoi itu tiba di hadapan ibu pejabat parti di Tropicana di sini, kira-kira jam 11 malam semalam dan melaungkan perkataan kesat termasuk mencaci dan menghina pimpinan Bersih, Datuk Ambiga Sreevenasan dan Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Mengikut paparan twitter, konvoi itu dilapor bergerak dari Batu Tiga, Shah Alam dan berkumpul di stesen minyak Kampung Sungai Kayu Ara sebelum bergerak ke ibu pejabat parti.
Ketua Ranting PJS, M Jeyabalan memberitahu Keadilan Daily, anggota polis yang berada di tempat kejadian hanya memerhati gelagat penyokong yang membawa bendera Umno dan memakai t-shirt Patriot, tanpa mengambil sebarang tindakan menghalang.
Ketika konvoi yang diketuai Exco Pemuda Umno, Lokman Nor Adam tiba di ibu pejabat parti, tiada pimpinan KEADILAN berada di lokasi berkenaan.
Mengikut satu sumber, konvoi berkenaan kemudian bergerak ke PJS 8, Petaling Jaya.
Beberapa pimpinan parti termasuk Angkatan Muda KEADILAN (AMK) kemudian bergegas ke ibu pejabat sebelum membuat laporan polis di balai Tropicana yang terletak di deretan bangunan sama.
Setiausaha Agung KEADILAN, Saifuddin Nasution Ismail ketika dihubungi awal pagi ini, menjelaskan Umno Barisan Nasional (BN) begitu terdesak hingga sanggup mengupah remaja membuat kekacauan.
“Ini tindakan samseng yang sedang menggelabah. Mereka cuba takutkan orang ramai untuk menggagalkan Himpunan Bersih 9 Julai ini.
“Anehnya, tiada seorang pun pemimpin Umno mahupun Perkasa dipanggil polis. Ironinya pimpinan Bersih termasuk Datuk Ambiga dan Sasterawan Negara, Datuk A Samad Said pula yang disoal.
“Namun, jika itu tujuan mereka, nampaknya mereka silap besar. Budaya ugut dan ancam Umno BN hanya  akan menyebabkan rakyat bangkit dan menolak mereka.
“Tuntutan kami jelas iaitu sistem pilihan raya yang bersih dan adil,” kata Saifuddin.

Tiada ulasan: