DATO' Halik Zaman menulis, penjenamaan semula Badan Pencegah Rasuah (BPR) sebagai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atau MACC mengikut piawai antarabangsa seperti ICAC Hong Kong tidak ubah seperti menukar baju dengan kot tetapi masih memakai kain pelikat.
Mula-mula di Sabah dikenali sebagai Biro Sisatan Negara (BSN) sebelum dijenamakan semula sebagai Badan Pencegah Rasuah (BPR) dan selepas itu barulah SPRM.
Paling melucukan, tugas utama entiti yang bertukar nama sebanyak tiga kali ialah ‘Catch Small Fish, Release Big Fish’ atau dengan bahasa mudah hanya menangkap mereka yang diarah untuk ditangkap oleh majikan mereka iaitu Perdana Menteri.
Walaupun SPRM kini kononnya sebuah ‘Suruhanjaya Bebas’ namun persoalannya bebas daripada apa?
Jika kakitangannya menerima gaji daripada Jabatan Perdana Menteri, perlantikannya dibuat oleh Perdana Menteri, mematuhi arahan Perdana Menteri dan menjaga kepentingan Perdana Menteri, bagaimana boleh menyiasat Perdana Menteri yang terlibat dengan Skandal Oil For Food dan Timbalan Perdana Menteri serta menteri-menteri kabinetnya terlibat dengan pelbagai skandal?
Bayangkan jika anda dilantik sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM yang nasib dan masa hadapan anda ditentukan oleh Perdana Menteri dan kroninya, mampukah anda menyiasat mereka yang melantik anda, memberi anda gaji, jawatan, rumah, kereta, elaun dan sebagainya jika mereka terlibat dengan Rasuah, politik wang, komisyen, salahguna kuasa, sogokan pangkat, tawaran jawatan dan sebagainya yang takrifnya jelas iaitu RASUAH?
Sudah tentu tidak. Jadi kenapa tukar nama sampai tiga kali jika fungsinya sama iaitu ‘bertindak mengikut arahan’ setelah meminta izin atau restu orang yang melantiknya, melainkan ‘ikan bilis’ yang hanya menerima RM50 atau RM5,000. Bukankah perbuatan ini seperti menukar t-shirt koyak dengan kot tetapi masih berkain pelikat?
Kita disajikan dengan laporan melalui blog dan laman web (barangkali media arus perdana dirasuah) begitu ramai orang yang mengelar diri mereka pemimpin yang memiliki bangunan agam (mega) menongkat langit dan mencakar awan berbanding dengan pendapatan sebenar mereka yang setara dengan penjual rokok haram di Pasar Filipina?
Bukankah mereka menyuci wang haram yang mereka perolehi daripada rasuah dengan menjalankan perniagaan hotel, menyewa bangunan, membina rumah mewah, membeli kereta mewah dan menjalankan kegiatan penggubahan wang haram dengan menyimpan wang di dalam akaun kroni dan proksi?
Laporan yang dibuat kepada BSN @ BPR @ SPRM bagaikan mencurah garam ke laut atau memberi cincin kepada orang kudung kerana semestinya laporan siasatan akan dikemukakan kepada Peguam Negara yang akan meneliti sebelum mendakwa tertuduh.
Lazimnya Peguam Negara akan memerap fail berkenaan seperti orang kampung memerap nasi atau ubi kayu untuk membuat tapai dan leihing, melainkan jika menerima arahan ‘Perdana Menteri’ kes berkenaan ‘Urgent’ dan ‘Terperingkat’ dan ‘Wajib Ditangkap’. Tetapi hampir kesemua siasatan terhadap ‘orang besar’ akan berakhir dengan cogankata,”No Case To Answer”.
Walaupun kini, Ketua Pesuruhjaya SPRM dilantik sebagai Pendakwaraya, namun dia tidak boleh menurunkan kuasanya kepada pegawai kanannya disebabkan sekatan undang-undang, ‘Delegatus non delegare’.
SPRM kini bagaikan seorang lelaki terkena kusta yang luruh jari dan berjaya dirawat dengan baik menggunakan tangan palsu yang direka oleh saintis, namun tidak mampu bergerak cergas kerana ‘amputasi’ dan terpaksa bergantung kepada nasihat ‘Doktor’ yang merawatnya.
Kecacatan SPRM semakin ketara apabila gagal dalam kes mega seperti Tan Sri Eric Chia kerana tidak mempunyai kepakaran langsung jika wang berkenaan disimpan di luar negara. Bukti paling ketara apabila seorang Peniaga Malaysia ditangkap di Hong Kong kerana menyeludup keluar $16 juta wang Singapura di dalam ‘Brief-Case’ nya.
Peniaga Malaysia itu mengaku wang tersebut milik Pembesar Negeri dan dia terpaksa menjadi kambing hitam untuk melepaskan ‘Boss’ nya setelah wang ‘boss’ nya berbilion ringgit dibekukan. Kini wang yang dibekukan telah dicairkan dengan bantuan ‘Sri Perdana’?
Kes ini membuktikan SPRM tidak langsung mempunyai kepakaran mengesan kes ‘Money Laundering’ dan ‘membiayai keganasan’ apabila wang rasuah dimasukkan ke dalam akaun kroni di London atau Australia. Dari London dipindahkan ke Singapura atau Hong Kong melalui beberapa transaksi.
Wang yang telah disucikan tersebut dimasukkan ke dalam akaun Pembesar Negeri dan Kroninya di Hong Kong, Singapura atau Australia. Walaupun Pemegah Amanah telah memberikan akuan berkanun dan bukti sahih, namun SPRM gagal mendapatkan ‘alibi’ kerana mata mereka dihijab dengan kuasa Perdana Menteri.
Kecacatan lebih parah apabila kes Jambatan Bengkok yang kita kerugian lebih RM300 juta; Kes Komisyen Kapal Selam; Kes Eurocopter; Kes Shukoi; Kes Menteri Kabinet Kanan yang melakukan rasuah lebih RM300 juta tidak langsung disiasat ataupun terus ditutup!
Jika seorang Pembesar Negeri mempunyai bangunan sendiri, atas nama anak bini dan menyewakan kepada Jabatan Kerajaan yang ‘dipaksa’ berpindah ke bangunan miliknya atau mengarahkan Setiausaha Kerajaan Negeri atau Setiausaha Persekutuan membuat pekeliling agar semua pegawai Kerajaan yang datang ke bandar X harus tinggal dan menggunakan kemudahan di hotelnya boleh lepas bebas tanpa sebarang rasa bersalah.
SPRM, janganlah harap kes yang ’sulit’ atau tidak nampak dengan mata kasar seperti ‘penjualan lota tanah di Sutera Harbour’ dan pengagehan ‘konsesi kayu balak’ atau kelulusan ‘tanah pertanian’ yang dirancang secara rapi akan disiasat.
Rakyat jelata semakin resah kerana SPRM sudah menjadi institusi ‘Elit’ dan sukar untuk membuat laporan kerana bimbang bukti yang disertakan akan dipadam atau diubahsuai yang akhirnya akan menjerumuskan mereka di dalam kes jenayah iaitu dituduh ‘membuat laporan palsu’.
Rakyat yang membuat laporan ditangkap, pemimpin yang mempunyai wang untuk membuat bukti atau mencipta bukti palsu terlepas. Namun persoalannya, dari mana datangnya wang untuk membuat rumah mewah bak istana, membeli berpuluh kereta mewah, memiliki tanah ribuan ekar dan bangunan serta hotel yang banyak, wang di bank yang tidak mampu dikira kerana melebihi 12 digit?
Berbanding dengan kes atau pertuduhan palsu ke atas pemimpin pembangkang yang kalau boleh akan disiapkan dalam tempoh 24 jam oleh SPRM iaitu menjatuhi hukuman bersalah sebelum mahkamah membuktikan pemimpin berkenaan bersalah!
Seorang penyiasat yang cekap dan bukan dicekapkan dengan ‘arahan’ boleh mendapatkan seberapa banyak bukti untuk mendakwa seseorang perasuah ke mahkamah, tapi sangat tidak lojik jika seseorang penyiasat itu memutuskan “sendiri” bukti yang dia ada adalah “kukuh”.
Hanya hakim sahaja yang boleh memutuskan sama ada sesuatu kes itu “kukuh atau tidak”. Bukan penyiasat kes yang berbuat demikian. Kalau seseorang penyiasat kes rasuah boleh mengakui dia mempunyai bukti kukuh seseorang itu menerima rasuah, maka penyiasat itu boleh juga menyatakan bahawa kes yang disiasat itu ada mempunyai prima facie.
Kalau ini lah hakikatnya, maka tidaklah perlu ada Mahkamah kerana Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim boleh di’hukum terus’ tanpa dibicarakan kerana SPRM sudah punya bukti kukuh!.
Pada prinsipnya, sebelum seseorang itu dijatuhi hukuman bersalah oleh mahkamah, maka seseorang yang disiasat oleh SPRM itu “still innocent until provent guilty”.
Rakyat kini cuma mengharapkan “People Power” untuk menukar Kerajaan dalam Pilihan Raya Umum akan datang dan memberi mandat kepada kerajaan baru sebagaimana mereka lakukan pada pilihanraya umum lalu dengan memberi mandat kepada Pakatan Rakyat memerintah di Selangor, Perak, Pulau Pinang, Kedah dan Kelantan.
Jika rakyat menyedari hak mereka dari segi Perlembagaan Persekutuan, maka mereka boleh melakukannya semudah memetik jari kerana masa hadapan kerajaan sekarang yang menjadikan SPRM sebagai ‘Buruh Paksa’ terletak di tangan rakyat yang akan memangkah kertas undi terutama meletakkan Sabah dan Sarawak di dalam gengaman erat Pakatan Rakyat!
Pemimpin BN janganlah leka kerana walaupun SPRM bersama anda tetapi CCTV Tuhan berada di mana-mana sahaja untuk merakam bukti anda sebagaimana yang berlaku di Hong Kong dan Australia. http://sanggahtoksago.blogspot.com/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan