"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Usul bubar DUN akan dipersembah pada Sultan

Menteri Besar Perak Pakatan Rakyat, Datuk Seri Mohd Nizar Jamaluddin akan mempersembahkan usul pembuburan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak yang diluluskan dalam sidang tergempar pagi tadi kepada Sultan Perak, kata Setiausaha DUN Perak, Mohd Misbahul Munir Masduki.

Katanya, sedang tergempar pagi tadi juga turut meluluskan usul mengesahkan Nizar sebagai menteri besar Perak.

misbahul munirMohd Misbahul Munir berkata, pihaknya dalam proses mendokumentasikan usul-usul tersebut yang disokong sebulat suara pagi tadi, sebelum memohon perkenan menghadap Sultan Perak dalam masa terdekat ini.

"Kita akan memohon perkenan menghadap Tuanku, mengikut tarikh yang ditetapkan (oleh pihak Istana)," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Drama krisis di Perak yang berlarutan hampir sebulan, menyaksikan satu detik sejarah apabila sidang tergempar DUN pagi tadi berlangsung di bawah pokok.

Ia ekoran tindakan pejabat setiausaha kerajaan negeri Perak mengarah kompleks pentadbiran kerajaan - yang menempatkan DUN - ditutup hari ini.

Speaker ada kuasa


Ia untuk menghalang Speaker, V Sivakumar dan semua ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pakatan Rakyat mengadakan sidang DUN tergempar di dewan tersebut.

Mengulas lanjut perkara tersebut, Mohd Misbahul Munir berkata setiausaha kerajaan negeri dan pihak polis tidak mempunyai alasan untuk menghalang Sivakumar dan wakil rakyat yang lain untuk bersidang kerana surat memanggil sidang tergempar telah dikeluarkan.

Ekoran itu, Sivakumar akan menyaman polis dan setiausaha kerajaan negeri kerana didakwa menghina dewan, kata beliau yang juga setiausaha penerangan PAS pusat.

Beliau yang dilantik sebagai setiausaha DUN menggantikan Abdullah Antong Sabri semalam, menjelaskan terdapat beberapa wakil rakyat yang akan turut mengambil tindakan yang sama kerana didakwa menghadiri perhimpunan yang tidak sah.

Beliau juga ditanya sama ada sah atau tidak mengadakan sidang tergempar di bawah pokok, beliau berkata, Speaker mempunyai kuasa untuk menentukan tempat dan masa sesuatu sidang.

"Kalau dia gazet tempat tersebut (bawah pokok) untuk bersidang, maka (boleh) berjalan sidang tersebut. Dia ada kuasa," katanya yang juga ketua penerangan PAS Perak.

Mengulas lanjut berhubung keputusan Mahkamah Tinggi Ipoh yang memutuskan bahawa peguam yang mewakili Sivakumar tidak mempunyai locus standi untuk mewakilinya, Mohd Misbahul Munir berkata: "Tindakan seterusnya terserah kepada Speaker".

 -malaysiakini-

Tiada ulasan: