SENIMAN dan aktivis teater, Khalid Salleh antara mereka yang hadir di pasaraya Sogo, Kuala Lumpur, 24 Januari lalu ketika Gerakan Mansuh PPSMI (GMP) melancarkan kempen untuk mengadakan perhimpunan besar-besaran 7 Mac ini. Kehadiran beliau menambahkan lagi semangat dan membuktikan PPSMI ditentang oleh semua pihak.
Khalid Salleh yang mesra dipanggil 'Wak Khalid' sudah lama menentang apa saja usaha untuk memperlekehkan bahasa dan bangsa Melayu. Malah beliau secara lantang mengutuk tindakan Menteri Pelajaran, Dato' Seri Hishammuddin Hussein yang masih mahu meneruskan dasar tersebut. Untuk mendapatkan pandangan seniman ini, wartawan Harakah, IRWAN MUHAMMAD ZAIN bersama jurugambar WAN ZAHARI WAN SALLEHmenemui beliau di sebuah restoran di Ampang, 5 Februari lalu.HARAKAH: Ketika GMP mengadakan pelancarannya di Sogo baru-baru ini, Wak juga turut hadir. Penglibatan Wak ini, boleh dikatakan menguatkan lagi GMP di samping kehadiran Sasterawan Negara dan pejuang bahasa yang lain. Boleh Wak ceritakan macam mana boleh terlibat GMP ini?
KHALID SALLEH: Saya melibatkan diri dalam GMP ini bukan semata-mata kerana soal bahasa Melayu tetapi kerana ia melibatkan bangsa Melayu. Melayu sebenarnya sudah hilang. Apabila nama bangsa Melayu itu dihilangkan dalam kad pengenalan, maka secara tidak sedarnya bangsa Melayu sudah dihilangkan.
Siapa punya kerja ini? Bukan setakat itu, nama Tanah Melayu juga dihilangkan, diganti dengan nama Malaysia. Kenapa tak kekalkan saja Tanah Melayu. Kalau sekalipun nak guna Malaysia tetapi jangan hilangkan Tanah Melayu kerana asas kepada nama Malaysia itu Tanah Melayu. Pemimpin Melayu sudah menindakkan wujudnya negara Melayu dan kini cuba menghilangkan bangsa Melayu dan bahasa Melayu. Ini yang menyebabkan saya kecewa dan melibatkan diri dalam GMP.
Apakah Wak mula melibatkan diri dalam perjuangan ini kerana ia mula digerakkan secara aktif atau pun sudah lama Wak perjuangkan?
Benda ini sudah lama sebenarnya. Tapi apabila orang sibuk bercerita tentang Palestin, saya rasa perlu suarakan tentang perkara ini. Kalau Palestin sekurang-kurangnya mereka melawan, mati syahid kita kata kerana mempertahankan negaranya, tapi Melayu macam mana?Melayu tiba-tiba hilang. Orang Melayu saja gelar mereka Melayu kerana masih berbahasa Melayu. Tapi itu pun kadang-kadang bagi sesetengah orang bahasa Melayu itu pun sudah diperlekehkan.
Cuba tengok PPSMI itulah. Kalau dah menginjak-injak bahasa dan bangsa sendiri maknanya sudah tidak ada apa-apa lagi. Nabi sanggup berperang kerana agama, bangsa dan wilayahnya. Melayu berperang untuk apa? Apa yang diperjuangkan?
Perkara ini ada kaitan dengan pemimpin Melayu yang kini berkuasa dan diberikan kuasa oleh rakyat khususnya orang Melayu tetapi mereka ini akhirnya secara halus cuba membunuh bangsa dan bahasa Melayu. Adakah ini mengecewakan atau menyedihkan Wak?
Bukan sedih lagi, amat menyedihkan.
Saya marah daripada dulu lagi sebab itu dalam puisi saya 'Tanah Melayu', saya kecam pemimpin Melayu yang mahu hilangkan bangsa sendiri. Lepas baca puisi itu memang anggota polis Cawangan Khas (SB) ikut saya sampai sekarang.
Apa yang Wak marahkan sebenarnya?
Dari sudut bahasa itu sendiri. Mereka kata bahasa Inggeris itu bahasa ilmu. Mereka ini tahu tak ilmu itu bukan diturunkan melalui bahasa. Itu pendapat saya secara peribadi. Ilmu itu universal. Ayat yang pertama 'Iqra', ayat pertama itu 'Baca', untuk apa baca dan membaca? kerana nak dapatkan ilmu.
Kita ambik satu contoh, al-Quran itu penuh dengan segala ilmu, tapi sejauh mana orang menggali ilmu yang disuruh oleh al-Quran. Bukan yang ada dalam al-Quran tapi yang disuruh oleh al-Quran. Contohnya, dalam al-Quran tidak ilmu macam mana nak buat kapal terbang. Tapi kenapa orang buat kapal terbang?
Dalam al-Quran ada surah yang mengatakan "Tidakkah kamu memerhatikan burung-burung yang berterbangan dengan kedua-dua belah sayapnya." Tapi orang Islam tidak memerhatikan burung, mereka hanya baca Quran saja. Yang memerhatikan burung adalah Wright bersaudara itu. Jadi daripada pemerhatiannya terhadap burung maka mula dia mula cipta kapal terbang.
Jadi yang dapat faedah daripada pembacaan itu siapa? Jadi orang yang membaca tentang burung hingga boleh cipta kapal terbang itu baca dalam bahasa apa? Al-Quran dalam bahasa apa? Baca selanjutnya:-http://www.harakahdaily.net/index.php?option=com_content&task=view&id=019672&Itemid=35
Tiada ulasan:
Catat Ulasan