KUALA LUMPUR, 5 Mac (Hrkh) - Krisis politik paling buruk di Perak memerlukan penyelesaian yang berpandukan kepada demokrasi dan kehendak rakyat. Dengan itu pertikaian dan perbahasan teknikal mengenai perlembagaan dan undang-undang tidak harus diperpanjang. Kita juga tidak memerlukan mahkamah untuk masuk campur.
Demikian ditegaskan oleh Dato Param Coomaraswamy, bekas Presiden Majlis Peguam yang juga pernah menjadi Jurulapor Sekretariat Kebebasan Kehakiman Bangsa-Bangsa Bersatu.
"Krisis yang berlaku di Perak sekarang tidak akan berlaku sekiranya DYMM Sultan Perak berkenan membubarkan dewan pada 5 Februari lalu," ujarnya.
Dengan itu beliau merayu supaya sultan bertindak membubarkan dewan bagi memberikan rakyat peluang untuk menentukan siapa yang mereka mahu untuk membentuk kerajaan.
Param menegaskan kemelut di negeri itu tidak harus dibiarkan melarat menjadi padang jarak padang tekukur yang tidak berdasarkan kepada kedaulatan undang-undang.
"Ketika ini Perak tidak mempunyai sebuah kerajaan yang sah dan diterima," keluhnya.
Sementara itu, Presiden Majlis Peguam Dato Ambiga Sreenivasan turut menyeru supaya Dewan Undangan Negeri dibubarkan agar rakyat dapat membuat pilihan. Tambahnya ada hal-hal tertentu yang tidak jelas di sisi undang-undang, termasuk Peraturan Dewan dan ia seharusnya diselesaikan dengan memberikan ruang untuk speaker membuat keputusan.
Ambiga turut menyatakan rasa tidak senang kepada keputusan Mahkamah Tinggi Ipoh Rabu lalu yang tidak membenarkan Speaker S. Sivakumar menggunakan peguam yang dilantik, Tommy Thomas dan mengarahkannya menggunakan khidmat Penasihat Undang-undang Negeri yang telah pun mewakili Dato Dr Zambry Kadir.
Dalam pada itu Prof. Dr Abdul Aziz Bari juga menyuarakan sentiman yang sama. Katanya kemelut yang berlarutan sejak hujung Januari itu tidak akan melarat sehingga membabitkan Dun dan mahkamah sekiranya sultan berkenan membubarkan dewan sebagaimana yang dipohon oleh Dato Seri Mohamad Nizar Jamaluddin.
Profesor undang-undang perlembagaan dari UIAM itu juga setuju dengan Param mengenai perlunya media berhenti melayan perbahasan teknikal undang-undang.
"Buat masa ini dengan tiba-tiba begitu ramai pakar muncul dan memberikan pelbagai tafsiran teknikal sehingga lupa masalah pokok yang asal, khususnya pemisahan kuasa, hak rakyat dan keadaan kritikal yang dihadapi sekarang," ujarnya.
Aziz berkata isu penting yang perlu ditangani sekarang ialah perlunya sebuah kerajaan yang stabil diwujudkan melalui dewan. Dalam rangka itu, jelasnya, peraturan tetap tidak harus dibaca begitu rigid sehingga menyebabkan usul undi percaya diketepikan.
Pendekatan yang rigid dan mengenepikan maksud asal perlembagaan itu juga meletakkan perkenan sultan sebagai syarat sedangkan ketika ini ia sedang digunakan untuk menghalang dewan bersidang.
Aziz juga bersetuju dengan Param tentang doktrin pengasingan kuasa.
"Mahkamah jelas tidak mengambil kira prinsip ini apabila ia mengeluarkan perintah terhadap dewan Rabu lalu. Ia jelas tidak memahami kedudukan dan autonomi dewan dalam kerangka perlembagaan," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan