"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Pekida buat aduan polis terhadap Gani Patail isu Kugan

Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah Malaysia (Pekida) dan Badan Bertindak Rakyat Malaysia (BBRM) membuat laporan polis terhadap peguam negara yang mengklasifikasikan kematian A Kugan sebagai kes bunuh.

Mereka mendakwa kenyataan Tan Sri Abdul Gani Patail berhubung kematian suspek curi kereta itu dibuat tanpa mengambil kira pandangan majistret dan pakar patologi, lapor Bernama.

Laporan polis itu dibuat oleh pengerusi Pekida Wilayah Persekutuan, Roslan Dahaman dan setiausaha BBRM Naseron Ismail di Ibu Pejabat
Polis Daerah Sentul, Kuala Lumpur hari ini.

Roslan dipetik berkata aduan itu dibuat bagi memastikan tiada salah guna kuasa dan menuntut peguam negara agar tidak mengetepikan pandangan pihak lain.                                                           

"Gani mengetepikan pandangan kedua-dua individu itu apabila beliau mendakwa Kugan mati disebabkan dibunuh dan bukan disebabkan paru-paru berair seperti yang disahkan sebelum ini... justeru kita minta beliau mengkaji semula pandangannya itu," katanya selepas membuat laporan itu.

Roslan berkata kenyataan peguam negara itu boleh disalaherti dan dianggap seperti menggalakkan perlakuan jenayah serta memberi perlindungan kepada penjenayah.

Menurut agensi berita itu lagi, beliau berkata pasukan polis tidak sepatutnya dipersalahkan atas kematian Kugan kerana mereka hanya menjalankan tugas mereka.

Ketua Polis Daerah Sentul ACP Zakaria Pagan berkata siasatan akan dijalankan oleh polis Putrajaya berikutan kedua-dua badan pernah membuat laporan berhubung perkara yang sama di IPD Putrajaya pada 23 Jan lepas.

Kugan direman 15 Jan lalu bagi membantu siasatan polis dan meninggal dunia empat hari selepas itu semasa dalam tahanan polis.                                                                                                     -malaysiakini-

Tiada ulasan: