"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kenyataan Media Untuk Edaran Segera

SHAH ALAM: Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) hari ini berjumpa dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) untuk membuat pengakuan atas kegagalan syarikat itu memasukkan faedah bukan wang (benefits in kind) di dalam Borang EA yang telah dikembalikan pada tahun-tahun yang lepas.

PNSB telah memberi komitmen kepada LHDN untuk memberi maklumat terperinci tentang semua “benefits in kind” yang telah diberi kepada kakitangan termasuk Pengerusi dan Lembaga Pengarah. Faedah ini termasuk dalam bentuk barangan, wang tunai atau kedua-duanya. Antara faedah tersebut termasuk kereta dan pemandu, serta percutian di dalam dan luar negara.

Pada perjumpaan tersebut, LHDN juga telah mengesahkan segala “benefits in kind” yang diterima mestilah dimasukkan dalam borang EA dan ini termasuk kereta, pemandu, faedah percutian dan hadiah dalam bentuk barangan dan tunai. Tiada pengecualian boleh diberi tanpa mengira kedudukan dan pangkat dalam syarikat
tersebut.

Dengan itu, kerajaan negeri berasa hairan dengan kenyataan akhbar yang dibuat oleh bekas pengerusi PNSB Dato’ Seri Mohamad Khir Toyo yang menyatakan beliau tidak perlu membayar cukai atas faedah kereta dan pemandu yang diterima. Mengikut laporan Berita Harian pada 27 Feb 2009, beliau dilaporkan sebagai berkata: “Ia adalah prosedur standard. Jika saya membayar cukai kereta ia akan menjadi bayaran berganda kepada LHDN kerana syarikat juga membayarnya”.

Dalam pada itu, selain daripada “benefits in kind”, PNSB juga akan meminta khidmat nasihat daripada LHDN ke atas pembelanjaan tertentu yang melibatkan hadiah – barangan dan wang tunai – kepada kakitangan.

Satu proses penilaian yang sedang berjalan di PNSB bertujuan untuk meningkatkan prestasi syarikat tersebut.

SEKRETARIAT AKHBAR
PEJABAT DATO’ MENTERI BESAR

Tiada ulasan: