"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Isu Royalti Minyak, Rakyat Tentukan

Pakatan Rakyat akan memberi rakyat hak "mengundi" terhadap cadangan gagasan itu untuk memberi royalti minyak sebanyak 15 peratus kepada penduduk di negeri-negeri pengeluar minyak iaitu Sabah, Sarawak, Kelantan dan Terengganu, jika ia berjaya menubuhkan kerajaan persekutuan.

Menurut Exco Kanan Kerajaan Kelantan Datuk Husam Musa, cadangan pungutan suara atau referendum itu adalah jaminan yang akan berikan kepada rakyat ketika beliau bersama pemimpin lain turun padang menjelajah negara untuk menjelaskan isu itu.

Husam berkata beliau dan Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Tan Sri Razaleigh Hamzah yang juga salah seorang pengasas syarikat Petroliam Nasional (Petronas) akan memulakan "road show" mereka pada 18 Mac di Terengganu.

"Kita akan membuat penerangan keseluruh negara mengenai isu royalti minyak dan Tengku Razaleigh sendiri akan membuat penerangan di Terengganu pada 18 Mac dan di Johor pada 27 Mac dan saya sendiri akan pergi ke Sabah.

"Kita kini sedang merangka satu insentif untuk memberi royalti minyak sebanyak 15 peratus kepada Sabah, Sarawak, Kelantan dan Terengganu manakala royalti kepada Kerajaan Pusat tidak berubah pada 5 peratus.

"Selain itu juga kita akan jadikan ini satu "referendum" untuk Sabah dan Sarawak. Pada pilihan raya negeri Sarawak nanti kita akan jelaskan kepada rakyat di sana jika inginkan royalti sebanyak 15 peratus rakyat Sarawak harus berikan kemenangan kepada Pakatan Rakyat sekurang-kurangnya 1/3 daripada jumlah kerusi. Kalau kita dapat minima 1/3 jumlah kerusi bermakna rakyat sarawak mahukan royalti 15 peratus yang kita cadangkan," kata Husam kepada Suara Keadilan.

Husam berkata ini adalah antara insentif Pakatan Rakyat berhubung isu royalti minyak yang telah menjadi perbahasan hangat terutama dikalangan rakyat Sabah dan Sarawak sekian lama dan terbaru di Kelantan apabila kerajaan Umno-Barisan Nasional berkeras tidak mahu memberi royalti tetapi hanya wang ehsan kepada negeri itu.

"Pada mulanya Sarawak sepatutnya menerima 12 peratus royalti tetapi memandangkan Petronas ketika itu baru ditubuhkan maka kompromi dicapai untuk memberi royalti 5 peratus sahaja kepada kedua-dua negeri itu dengan tujuan untuk memantapkan kedudukan kewangan Petronas.

"Duit Petronas pun banyak digunakan untuk projek yang tidak mendatangkan faedah secara terus kepada rakyat seperti membelanjakan lebih RM1 bilion untuk sukan Formula One sahaja dan lain-lain projek mewah.

"Sekarang kita kena agih semula royalti supaya negeri-negeri miskin ini dapat lebih," ujar Ahli Undangan Negeri Salor itu.
-Suara Keadilan-

Tiada ulasan: