"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Selangor Sampai Bantuan RM5ribu Kepada Norizan Salleh

Kerajaan Negeri Selangor terus komited dalam usaha mengangkat martabat kaum wanita dalam negeri ini ke arah menyediakan sistem sokongan yang sewajarnya untuk matlamat tersebut.

"Jangan biarkan wanita terus kekal sebagai satu statistik atau sekadar angka mangsa keganasan dan penindasan dalam negara ini," ujar Rodziah Ismail, Exco Hal Ehwal Wanita, Sains dan Teknologi dan Inovasi dalam satu majlis sambutan Hari Wanita Sedunia semalam di Foyer Bangunan SSAAS, Shah Alam.

Dalam majlis tersebut, kerajaan negeri melalui Exco Selangor itu menyampaikan bantuan kewangan sejumlah RM5ribu kepada mangsa keganasan polis, Norizan Salleh seorang ibu tunggal yang hampir maut kerana ditembak polis sebanyak lima kali.

Beliau berkata, Norizan telah meminta untuk berjumpa dengan Menteri Dalam Negeri, namun sehingga ke hari ini Hishamudin masih enggan berjumpa malah tidak mengambil tindakan ke atas anggota polis yang menyerang ibu tunggal itu.
"Menteri Dalam Negeri tidak harus melarikan diri daripada tanggungjawab terhadap tindakan ganas anggota polis itu kerana ini membabitkan keselamatan awam khasnya kaum wanita," tegas Rodziah.

Menurut Rodziah, Hari Wanita Sedunia disambut setiap tahun pada 8 Mac bertujuan untuk memberi pengiktirafan kepada wanita yang jumlahnya lebih 50% daripada penduduk dunia ini.

"Lebih 49% daripada penduduk Selangor terdiri daripada kaum wanita, maka kerajaan negeri telah meletakkan kepimpinan tertinggi Negeri lebih 30% adalah wanita untuk terlibat secara langsung dalam perancangan dan pembangunan negeri."

"Kerajaan juga sedang berusaha untuk mempertingkatkan peratusan wanita yang menduduki kedudukan di peringkat pembuat dasar dan keputusan tidak kira di sektor awam atau swasta," sambungnya.

Yang turut hadir adalah YDP PEKAWANIS Puan Sri Salbiah Tunut, Ahli Parlimen Ampang Zuraida Kamarudin, Exco Selangor Teresa Kok, Adun Rawang Gan Pei Nei, Adun Kampung Tunku Lau Weng San, Adun Kota Damansara Nasir Hashim dan wakil-wakil NGO hak wanita.
-tvselangor-

Tiada ulasan: