"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Bahasa Melayu Diancam, PPSMI Lonjak Bahasa Lain

SHAH ALAM, 7 MEI: Keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang mengesahkan Pengajaran Matematik dan Sains dalam bahasa Inggeris (PPSMI) selaras dengan Perlembagaan, membayangkan kedudukan bahasa perantaraan lain setaraf dengan bahasa Melayu.

Timbalan Pengerusi Gerakan Mansuhkan PPSMI, Shahril Mohamad Zin menyifatkan pelaksanaan PPSMI hanya melonjakkan bahasa perantaraan lain, sebaliknya bahasa Melayu pula diperlekeh perundangan negara.

"Agak menyedihkan kalau itu (PPSMI) tidak bertentangan dengan Perlembagaan. Maknanya, peluang untuk kembali kepada bahasa-bahasa lain sebagai bahasa perantaraan di sekolah itu, cerahlah.

"Dengan undang-undang mengatakan bahasa lain juga boleh, dari segi perlembagaan. Ini memudahkan lagi peralihan daripada bahasa kebangsaan ke bahasa lain pada masa akan datang," katanya

Tanpa mempertikai keputusan mahkamah berkenaan, Shahril bimbang bahasa Melayu kini bukan diancam perkembangan bahasa lain tetapi digugat institusi perundangan dan mahkamah.

"Jadi, pada saya hal ini tidaklah begitu relevan tetapi dari segi lain, dari segi undang-undang dengan adanya mahkamah-mahkamah ini, memang akan merapuhkan lagi bahasa Melayu," katanya.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini memutuskan PPSMI sah mengikut Perlembagaan Perlembagaan sekali gus menolak saman pemula empat pelajar termasuk anak bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohamed Nizar Jamaluddin.

Hakim Bahagian Rayuan dan Kuasa-kuasa Khas, Datuk Mohd. Zawawi Salleh membuat keputusan selepas mendapati surat pekeliling ikhtisas yang dikeluarkan berhubung dasar itu di Sekolah Kebangsaan dan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan Tamil, tidak bercanggah dengan Perlembagaan.

Peguam pelajar berkenaan, Mohamed Hanipa Mydin berkata keputusan dibuat dengan merujuk Seksyen 16, Akta Pelajaran 1966 yang menyebut bahasa kebangsaan harus menjadi bahasa utama tetapi perkataan utama tidak semestinya merujuk kepada bahasa Melayu.

Beliau berkata, Hakim Mohd Zawawi juga dalam penghakiman dalam kamar menyatakan bahasa Inggeris juga bahasa utama di negara ini.
-tvselangor-

Tiada ulasan: